Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR pada Isnin meminta kerajaan DAP Pulau Pinang bertindak tegas dalam menangani masalah kebanjiran rakyat asing di negeri ini yang didakwa menimbulkan ketakutan kepada penduduk tempatan.

Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berkata kebanjiran rakyat asing di sekitar Penanti dan Bukit Mertajam telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk terutama pelajar sekolah dan kanak-kanak.

"Adakah kerajaan negeri memikirkan penyelesaian untuk membuatkan penduduk rasa selamat... memberikan langkah proaktif untuk menangani permasalahan ini.

"Masalah ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat, mereka takut hendak pergi ke bandar di Bukit Mertajam seperti di Kompleks Summit kerana banyak orang Myanmar," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Isnin.

Dr Norlela berkata sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada polis untuk menanganinya.

Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy ketika menjawab soalan itu, berkata setiap bulan pihaknya mengadakan mesyuarat bersama polis termasuk wakil dari agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai isu kebanjiran rakyat asing di Pulau Pinang.

"Peranan kerajaan negeri adalah terhad, namun ia tidak bermakna kerajaan negeri lepas tangan dalam isu kebanjiran warga asing ini," katanya.

Mengenai isu penempatan pelarian etnik Rohingya di negeri ini, Ramasamy berkata kerajaan negeri bersedia berbincang mengenai perkara itu bagi membantu kumpulan etnik berkenaan.

"Kami tidak ada masalah untuk bantu (pelarian Rohingya) tapi (perlu) berunding dengan kerajaan negeri dahulu," katanya.