Kerajaan sedang membuat penilaian untuk melantik anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) yang diluluskan Kabinet awal bulan ini.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, beliau akan memastikan anggota yang dilantik adalah kalangan mereka yang benar-benar layak dan tiada kepentingan peribadi.

"Penubuhan majlis ini adalah 'turbocharge'. Apabila saya dimaklumkan pada pertengahan tahun lepas, dalam masa tujuh bulan kita dapat meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Air ini.

"Saya nak pastikan bahawa anggota majlis ini adalah yang baik dan tidak ada kepentingan masing-masing serta betul-betul tahu bagaimana nak mengurangkan insiden lemas di Malaysia ini.

"Kita dalam proses untuk melantik mereka untuk menyertai majlis ini," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kenderaan dan Peralatan Kebombaan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa mengambil langkah keselamatan sementara menunggu cadangan dikemukakan majlis berkenaan.

"Jangan tunggu majlis beroperasi, barulah nak ambil langkah-langkah (keselamatan) ini. Saya minta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), keluarga dan individu supaya mengambil langkah sepatutnya terutama di parit, lombong tidak digunakan, dan saliran tidak digunakan.

"Jangan pergi ke kawasan itu selagi kita tidak membuat langkah pencegahan sesuai patut diambil pihak berkuasa tempatan dan agensi berkenaan," tegas beliau.

Beliau berharap semua pihak memberi sedikit ruang dan tempoh masa kepada kementeriannya untuk membuat keputusan yang terbaik bagi memilih anggota yang layak menyertai majlis berkenaan.

"Sekarang ini belajarlah. Jangan berenang di kawasan yang berbahaya. Saya rasa kalau ada majlis ini, purata dua kematian (lemas) setiap hari di negara ini dapat dikurangkan," kata beliau.

Kertas Memorandum MKAA yang dibentangkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diluluskan kabinet 6 Januari lalu bagi mengatasi insiden lemas yang mencatatkan purata dua kematian dalam setiap hari.

Berdasarkan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata kes kematian akibat lemas setahun bagi 2009-2013 ialah 596 kes.