Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kerajaan sedia adakan libat urus semula dengan pemain industri berhubung caj CRESS - Fadillah

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengadakan libat urus semula dengan pemain industri bagi meneliti kemungkinan penambahbaikan struktur caj di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata caj sebanyak 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) ditanggung oleh pemaju tenaga boleh baharu, manakala empat sen lagi dibayar oleh pengguna akhir tenaga hijau.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata caj terhadap pemaju pada asalnya ditetapkan pada 20 sen sebelum dikurangkan kepada 14 sen selepas sesi libat urus, manakala caj empat sen kepada pengguna akhir telahpun dikenakan sebelum pengumuman berkenaan.

Fadillah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

“Caj CRESS merangkumi tiga komponen, iaitu operasi dan kawal selia, pembangunan pasaran serta pengukuhan sistem pembekalan elektrik.

 “Kekeliruan timbul susulan laporan media yang menggabungkan kedua-dua caj itu sebagai kadar 18 sen,” katanya.

Bagaimanapun, Yeo Bee Yin (DAP-Puchong) yang mencelah ketika Fadillah memberikan penjelasan itu membangkitkan bahawa kadar efektif bagi penghantaran tenaga elektrik di bawah CRESS sebenarnya berjumlah 18 sen bagi setiap kWj.

Yeo berkata pemain industri sebelum ini memahami bahawa kadar berkenaan ialah 14 sen sebelum mendapat penjelasan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) kira-kira dua minggu lalu, sekali gus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka.

Menjawab perkara itu, Fadillah berkata kerajaan mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan oleh pemain industri.

Sementara itu, beliau berkata ST sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh mengenai kemudahan penjanaan sendiri serta penetapan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu bagi sektor pusat data yang telah diluluskan kerajaan.

Beliau berkata pusat data turut digalakkan menyertai CRESS bagi mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.

-- BERNAMA

 

TAG: Fadillah Yusof, CRESS, pemain industri, tenaga boleh baharu, Dewan Rakyat

Must Watch Video

Advertisement