Kerajaan akan memberi kuasa autonomi kepada Universiti Awam berhubung kenaikan pangkat dan pengurusan kewangan bagi memudahkan keputusan dilakukan dengan kadar segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata dengan pemberian kuasa ini, pihak universiti mampu membuat keputusan dengan pantas tanpa perlu menjalani beberapa proses.

"Jadi, keputusan akan dibuat dengan lebih pantas, tetapi pemberian kuasa itu mesti disertai dengan proses kebertanggungjawaban," katanya semasa berucap pada majlis beramah mesra bersama warga pendidikan tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

"Maka agensi-agensi pusat boleh dirundingkan dalam pelbagai bentuk dan secepat mana proses pemberian kuasa ini dapat diperturunkan ke universiti-univerisiti kita," jelasnya.

Pada masa sama, Najib juga menggesa kepimpinan tertinggi universiti awam membantu kerajaan bagi mencari sumber kewangan dalam pengendalian universiti.

"Salah satu daripada perkara yang amat rumit apabila jadi Perdana Menteri ini bila terpaksa menaikkan sesuatu, lebih-lebih lagi jika terpaksa menaikkan yuran universiti. Oleh sebab itu, kita pertahankan yuran univeristi sehingga ke hari ini.

"Kalau kita nak pertahankan lagi walhal sasaran kita mahu mencapai 2.5 juta akses kepada pendidikan tinggi menjelang tahun 2025 daripada 1.4 juta sekarang ini, jadi kita mahu lonjakkan kepada tahap begitu tinggi. Jadi saya harap pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan naib-naib canselor universiti membantu dari segi kewangan," katanya.


Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan buku panduan bertajuk "Enhancing University Board Governance and Effectiveness".

Buku UniTP Green Book ini merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang akan dihasilkan bagi memacu program transformasi di Universiti Awam.