KEPALA BATAS: Kerajaan akan menyediakan dana tambahan kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mengadakan latihan kepada tenaga pengajar dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dana tambahan itu bagi membolehkan pensyarah TVET universiti berkenaan diberi latihan yang selaras dengan keperluan industri.

"Pada mulanya, rancangan ini adalah untuk tahun depan, tetapi saya nak perkara ini dipercepatkan dalam masa yang singkat ini.

"Saya akan minta syarikat Geely dan Petronas untuk kerjasama dengan UniKL dan mengadakan program khas kepada pensyarah TVET," kata beliau dalam sesi bual bicara komuniti TVET sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kementeriannya akan berbincang mengenai peruntukan tambahan itu esok.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Anwar berkata terdapat lebih 400 institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan manakala 250 institusi di bawah KKDW.

Jemaah menteri juga telah memutuskan untuk tidak menghalang mana-mana syarikat yang berhasrat mengambil alih institusi TVET dengan syarat mereka memberikan latihan lebih baik, katanya.

Beliau berkata Petronas telah diminta mengambil alih institusi TVET di Pengerang, Johor dan Batu Rakit di Terengganu manakala Perodua di Pekan, Pahang.

"Saya difahamkan Petronas telah memberikan latihan TVET dan sudah tentu yang bekerja dengan Petronas akan menerima gaji lebih RM3,000," kata beliau.

Anwar berkata kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.8 bilion untuk institusi TVET di seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan lepasan TVET selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

"Kalau keupayaan tenaga kerja dapat ditingkat, syarikat antarabangsa seperti Tesla dan Geely berjanji akan memberikan gaji RM2,500 hingga RM3,000 kepada lepasan TVET kita.

"Ini janji mereka ketika mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan," kata beliau.

-- BERNAMA