Kerajaan bersedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain yang sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebar kenyataan berunsur hasutan tanpa mengira kaum dan agama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kabinet memberi jaminan tindakan itu akan dilakukan bagi memastikan individu atau pihak-pihak yang terbabit tidak terlepas daripada dikenakan tindakan tegas untuk mengelakkan negara menjadi huru-hara ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Baik SKMM Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia juga yang dipertanggung jawabkan tentang soal yang berkaitan multimedia dilihat disudut perundangan pihak jabatan Peguam Negara kalau akta hasutan atau akta apa yang difikirkan perlu diperkukuhkan lagi bukan dihapuskan, diperkuatkan lagi maka harus dilakukan perubahan dan pindaan dan kabinet memberi jaminan insyaallah ini akan kita laksanakan supaya tidak ada pihak yang terlepas daripada tanggung-jawab kerana akhirnya kalau kita tak bertegas dalam soal begini bagaimana yang telah disebutkan tadi akan timbul keadaan huru hara dalam negara kita,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda Daerah Bera di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Bera yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin.

Muhyiddin berkata mendepani media sosial merupakan antara cabaran hebat yang perlu dihadapi oleh kerajaan pada masa kini sama seperti yang dihadapi oleh kerajaan lain di seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan menyedari reaksi kurang senang masyarakat yang beranggapan seolah-olah ada pertuduhan terpilih oleh pihak berkuasa dalam menangani beberapa isu sejak kebelakangan ini.

"Mereka kata kalau melibatkan kes kaum orang Melayu cepat sahaja pihak berkuasa ambil tindakan dan apabila membabitkan orang bukan Melayu lambat ambil tindakan dan tanggapan ini ada asasnya,” kata Muhyiddin.

Dalam masa yang sama, katanya, setakat ini kerajaan belum bercadang untuk melakukan tapisan terhadap internet di negara ini.