Kerajaan Selangor digesa mempercepat pelaksanaan Projek Mitigasi 2 untuk mengoptimumkan pengeluaran air terawat dan menggelak berlakunya krisis air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua berkata, projek Mitigasi 2 dapat meningkatkan kapasiti air terawat yang diagihkan kepada pengguna dan menampung peningkatan permintaan sebanyak 3.5 peratus setahun.

"Sehingga 2016, loji-loji rawatan air di Selangor masih mempunyai baki kira-kira 390 juta liter kapasiti air belum guna yang boleh disalurkan kepada pengguna pada bila-bila masa.

"Diharapkan kerajaan negeri dapat mempercepatkan projek ini supaya keupayaan untuk membekalkan air kepada pengguna tidak terjejas," katanya.

Teo ditemui pemberita selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai isu-isu air Selangor, di Empangan Sungai Selangor, di Kuala Kubu Baru.