Kerajaan negeri Selangor didakwa cuba menindas rakyat negeri itu terutamanya golongan nelayan apabila mengenakan caj tambatan jeti sehingga RM600 setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mempersoal kewajaran tindakan itu oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya tidak melihat wujud kewajaran caj tersebut dikenakan ke atas nelayan kerana jeti tidak dibina oleh kerajaan negeri.

"Jika kerajaan negeri buat lebuh raya dan kenekan tol saya faham kenapa, tetapi dalam isu ini, ia adalah perkara yang jauh berbeza," ujarnya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri bantahan caj tambatan anjuran Persatuan Nelayan Negeri Selangor di Batu 23 Sg Nibong pada Khamis yang dihadiri kira-kira 100 ahli.

Jelas Ahmad Shabery, Mohamed Azmin seolah-olah menganaktirikan nelayan negeri itu apabila tidak turun ke padang untuk menyelesaikan isu ini.

"Saya dimaklumkan Persatuan Nelayan Negeri Selangor telah menghantar memorandum bantahan pada bulan lepas namun tidak layan.

"Menteri Besar bukan sahaja tidak melayan memorandum tersebut, malah sehingga ke saat ini langsung tidak mahu turun bertemu dan berunding mengenai isu ini," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor ketika ini tidak hanya memperkotak katikkan isu yang dibangkitkan nelayan, malah juga petani dan penternak.

"Dalam isu takungan air bagi saliran ke sawah padi, kerajaan negeri kini mahu mengenakan caj sewaan tanah pada tanah takungan air yang dibina kerajaan pusat bagi kemudahan pesawah.

"Tidak cukup dengan itu, Persatuan Akuakultur kini telah menzahirkan kebimbangan mereka apabila kerajaan negeri mahu mengenakan caj air pada penternakan tersebut.

"Saya tidak nampak kewajaran semua itu," ujarnya lagi.

Persatuan Nelayan Negeri Selangor mengadakan bantahan terhadap caj tambatan yang dikenakan ke atas nelayan negeri itu. - Foto Astro AWANI

Dalam soal sektor berkaitan, kata beliau, sepatutnya kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menambahbaik sektor penyumbang ekonomi negara terbabit dan bukannya mempolitikkan isu dan akhirnya membebankan rakyat.

"Seharusnya semua isu ini ditangani kerajaan negeri dan bukan kerajaan persekutuan, kerana ada klausa tertentu yang perlu dihormati kerajaan persekutuan namun dalam isu yang dibangkitkan hari ini adalah isu rakyat yang terbeban hasil tindakan kerajaan negeri," kata Ahmad Shabery.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor Mohd Jaman Haris berkata, persatuan langsung tidak dimaklumkan terlebih dahulu berhubung pelaksanaan caj tersebut sehinggalah perkara itu dikeluarkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) baru-baru ini.

"Ketika ini kerajaan negeri sedang melakukan bancian untuk pelaksanaan seterusnya dan kami tidak dimaklumkan.

"Ia sudah pasti membebankan nelayan kerana jumlah terpaksa membayar dua jeti setahun dengan kos RM1200," katanya.

Jelas Mohd Jaman, nelayan perlu berada di kedua-dua jeti pada satu-satu masa untuk mendaratkan ikan dan menambat bot.

Terdapat hampir 100 jeti di sepanjang perairan negeri itu dengan separuh darinya dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), manakala selebihnya dibina pihak swasta dan persatuan nelayan setempat.

Tambah Ahmad Shabery, beliau akan memberikan surat sokongan kepada persatuan nelayan negeri itu untuk menghantar memorandum terbaharu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.