KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata meskipun ada keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu mengimbangkan hasrat itu dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan.

"Reformasi percukaian melalui Belanjawan 2024 adalah langkah yang menyokong usaha kerajaan Madani memperkukuh asas fiskal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik.

"Satu contoh reformasi percukaian adalah kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus ke lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac, 2024 yang menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan (B2B)," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau berkata peningkatan cukai perkhidmatan itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

"Ini bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai penggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

"Kerajaan menjangkakan perubahan ini tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi terutama dengan langkah susulan kerajaan memperkemas layanan cukai ini," katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga telah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2024 agar kerajaan dapat menangani isu tatakelola fiskal yang terdapat dalam kerajaan.

"Kerajaan akan kekal komited terhadap konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana serta tumpuan khusus akan diberikan bagi memastikan kemampanan fiskal akan dapat dicapai melalui penjanaan hasil yang mampan dan keberkesanan perbelanjaan melalui peningkatan kecekapan, mengurangkan ketirisan dan pembaziran," katanya.

Beliau berkata Malaysia mengamalkan dasar ekonomi kitar balas dengan Kementerian Kewangan (MoF) mengawal selia dasar fiskal menerusi Perbendaharaan Malaysia dan dasar monetari menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) supaya kedua-dua dasar tersebut dapat memastikan bahawa tahap pertumbuhan ekonomi negara kekal stabil.

Ini dilaksanakan melalui dasar-dasar intervensi yang melawan kitaran ekonomi yang bertumbuh terlalu perlahan atau terlalu pantas, katanya.

"Pada masa yang sama, MoF perlu memastikan bahawa terdapat dana yang mencukupi supaya kerajaan Persekutuan dapat memenuhi peranannya iaitu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan tepat pada masa kepada rakyat terutama dari aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan.

"Oleh yang demikian, kos penyediaan perkhidmatan tersebut perlu diimbangi dengan pengenaan cukai yang berpatutan dan sepadan dengan tahap perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah mengenai langkah intervensi MOF berhubung rangka perancangan secara menyeluruh berkaitan reformasi percukaian yang dikenakan kepada rakyat yang kelihatan semakin membebankan susulan kenaikan kos sara hidup yang masih perlu ditangani oleh kerajaan.

-- BERNAMA