IPOH: Kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mengiktiraf institusi pondok, madrasah dan sekolah agama sebagai rakan strategik sangat penting untuk membina negara yang seimbang antara kemajuan fizikal dan nilai kemanusiaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata kerajaan berpegang teguh bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kekuatan ekonomi atau infrastruktur, dan kekuatan sebenar terletak pada kualiti insan serta mesti dipandu oleh nilai kemanusiaan.
“Kerajaan menerusi agensi agama sentiasa konsisten dan komited untuk menjalin kerjasama yang erat dengan kerajaan negeri, jabatan agama Islam negeri, majlis agama Islam negeri, pihak berkuasa agama dan institusi pendidikan Islam di seluruh negara.
“Ia bagi memastikan sistem pendidikan ini terus berkembang secara tersusun, berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu, Zulkifli menyerahkan sumbangan Bakul MADANI kepada komuniti setempat kepada 12 daripada keseluruhan 250 penerima.
Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 3,000 warga pondok dan sekolah agama, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), wakil pertubuhan bukan kerajaan dan warga setempat menghadiri HIPSA 2026.
Antara pengisian program ialah sesi Bicara Murobbi bertajuk “Peranan Ulama dan Umara Dalam Pembangunan Negara” melibatkan ulama Kelantan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, bekas Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan pendakwah terkemuka Mohamad Saifuddin Abdul Latiff.
YADIM memaklumkan majlis turut menyantuni keluarga yang memerlukan menerusi penyampaian sumbangan barangan keperluan dapur, penyerahan cek cura dana sumbangan kepada pondok dan sekolah agama di Perak, cek cura penajaan yuran pelajar serta Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
HIPSA 2026 ialah inisiatif untuk memperkasakan dan menyantuni institusi pendidikan Islam secara berterusan oleh kerajaan selaras dengan Aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan insan sebagai keutamaan negara.
YADIM memaklumkan menerusi semangat MADANI Membantu, kerajaan akan terus memastikan sokongan sampai kepada warga pondok, guru KAFA dan komuniti akar umbi yang menjadi tunjang kepada pendidikan Islam di Malaysia.
-- BERNAMA