KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melibatkan hospital swasta dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dan 3 sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, penglibatan itu dibuat selepas mengambil kira cadangan bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi COVID-19 dengan segera.

"Penglibatan hospital swasta ini adalah mengambil kira cadangan yang dikemukakan pihak hospital swasta yang tidak mahu terkecuali dalam menggembleng tenaga bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi COVID-19 dicapai segera.

"Oleh itu, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital swasta bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

BACA: COVID-19: Vaksin awal jika derma darah lebih 50 kali - Dr Adham 

BACA: Kerajaan sedia menimbang cadangan benarkan hospital swasta beli vaksin - Khairy

Jelas Adham, mana-mana hospital yang ingin mengambil bahagian boleh berdaftar melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) di laman web www.protecthealth.com.my mulai Isnin.

"Melalui laman web tersebut, hospital swasta boleh mendapatkan maklumat berkaitan kaedah vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran," jelasnya.

Setakat ini, terdapat 203 hospital swasta di Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat mengalu-alukan kesemua hospital swasta ini untuk tampil menyumbangkan sumber demi kebajikan rakyat dan negara.

Dengan inisiatif ini, penduduk Malaysia akan mendapat suntikan vaksin daripada fasiliti Kerajaan ataupun swasta (GP atau hospital swasta).

Pada masa sama, garis panduan dan manual yang lengkap akan turut diberikan sebagai rujukan dalam mengendalikan pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran Fasa 2 dan 3.

Pada 8 Mac lalu, KKM telah mengumumkan penglibatan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dalam PICK manakala jumlah pendaftaran GP sehingga 11 April 2021 adalah sebanyak 2,304.



[INFOGRAFIK] Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan