KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah bersetuju menyelesaikan tuntutan samannya terhadap kerajaan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas penamatan khidmat beliau sebagai Peguam Negara sebelum ini, yang didakwa sebagai tidak sah.

Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Mohamed Apandi, Datuk Baljit Singh.

Jelas Baljit Singh, penyelesaian itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir hari ini.

“Kerajaan, tanpa prejudis, telah bersetuju untuk menyelesaikan saman itu tanpa pengakuan liabiliti.

“Kami tidak boleh mendedahkan syarat penyelesaian,” katanya memetik laporan tersebut.

Pada September 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman meminta pengisytiharan bahawa penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara oleh Dr Mahathir pada 2018 dilakukan secara salah.

Pernyataan tuntutan, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, antaranya menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya.

Selain itu, defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.