KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengumumkan persetujuan untuk Kumpulan Boustead meneruskan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang terhenti sejak 2019 dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia diputuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Rabu lalu.

Ismail Sabri berkata dengan penerusan pembinaan itu, ia akan menyelamatkan 1,600 pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dan lebih 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS Bumiputera.

"Sekiranya pembinaan LCS ini tidak diteruskan ia akan memberi impak negatif kepada para pekerja dan vendor Bumiputera yang terlibat.

"Ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang merupakan pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Selain itu Ismail Sabri berkata ia secara tidak langsung juga memberi kesan kepada pencarum yang merupakan anggota tentera jika projek ini tidak diteruskan malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead Naval Shipyard tidak berkeupayaan membayar pinjaman.

"Untuk rekod, Kumpulan Boustead Naval Shipyard adalah merupakan sebuah syarikat milik kerajaan yang diusahakan oleh majoritinya anak-anak Melayu Bumiputera," katanya.

Terdahulu dilaporkan Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pihaknya terpaksa menimbang untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membekalkan enam aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal LCS kerana mengalami kelewatan dalam pembinaan.

-- BERNAMA