MALAYSIA
Kerajaan Singapura dan Pemangku Sultan Johor capai persetujuan untuk pertukaran tanah di Holland Road

SLA dan URA menyatakan bahawa Tunku Mahkota Ismail merancang untuk membangunkan tanah milik baginda. - Foto Bernama
SINGAPURA: Kerajaan Singapura dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan pertukaran tanah di Holland Road, di sini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Singapura dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bersetuju menukar tanah di Holland Road, dengan 13 hektar milik baginda dipindahkan kepada Singapura, dan 8.5 hektar tanah kerajaan Singapura diserahkan kepadanya.
- Pertukaran tanah dilakukan untuk memastikan pembangunan dirancang lebih jauh daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO, dengan tanah milik Tunku Mahkota Ismail sesuai untuk kediaman bertingkat rendah.
- Sebarang pembangunan akan tertakluk kepada proses kelulusan oleh pihak berkuasa Singapura, termasuk kajian alam sekitar bagi meminimumkan kesan terhadap ekosistem.
"Tanah yang akan ditukar ganti adalah bernilai setara," menurut kenyataan itu.
Tunku Mahkota Ismail kini memiliki 21.1 ha tanah di Holland Road yang telah berada di bawah pemilikan peribadi Keluarga Diraja Johor selama beberapa generasi.
SLA dan URA menyatakan bahawa Tunku Mahkota Ismail merancang untuk membangunkan tanah milik baginda.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar ganti tanah supaya pembangunan yang dirancang terletak lebih jauh dari Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.
"Pemangku Sultan Johor boleh membangunkan tanah milik baginda selepas pertukaran itu, yang sesuai untuk pembangunan kediaman bertingkat rendah dan berkapasiti rendah," menurut kenyataan itu.
SLA dan URA menambah bahawa sebarang pelan pembangunan akan tertakluk kepada proses sewajarnya.
"URA dan agensi berkaitan akan menilai sebarang permohonan pembangunan dan memastikan pembangunan yang dicadangkan selaras dengan konteks persekitarannya," menurut kenyataan itu.
Sebelum sebarang kerja dimulakan, kajian alam sekitar akan dijalankan bagi mengurangkan sebarang kesan terhadap alam sekitar.
Kerajaan Singapura akan mengekalkan tanah yang diterima daripada pertukaran itu tanpa pembangunan buat masa ini, namun terbuka kepada perancangan masa depan untuk kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami