PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap isu penyalahgunaan visa pelawat dan permit perniagaan yang didakwa menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat pihak tertentu yang memasuki negara atas nama pelawat atau menggunakan visa pelancong, namun menyalahgunakannya untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
“Kita bangkitkan ancaman dari kelompok-kelompok atas nama pelawat, ada visa, kunjungan ke negara kita tetapi menggunakan kesempatan berniaga,” katanya.
Beliau berkata aktiviti itu turut melibatkan perniagaan kecil yang memberi kesan kepada peniaga tempatan termasuk sektor mikro seperti warung, pasar borong, bengkel kenderaan dan kedai kopi.
“Perniagaan ini termasuk perniagaan peringkat kecil seperti PMKS… perniagaan-perniagaan di warung-warung di pasar borong jadi masalah,” katanya.
Anwar berkata keadaan itu turut menjejaskan peluang ekonomi rakyat apabila wujud persaingan tidak seimbang dalam sektor perkhidmatan kecil.
“Banyak daripada negara Cina yang datang visa pelancong tetapi perniagaan-perniagaan kecil ini, baiki, mekanik biasa, kenderaan, penghawa dingin, syarikat-syarikat kecil, kedai-kedai kopi ini menimbulkan keresahan,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain memperketatkan peraturan termasuk mewajibkan pendaftaran perniagaan dengan alamat tetap.
“Oleh itu kerajaan tidak ada pilihan jadi kita menetapkan kalau peniaga mesti ada pendaftaran perniagaan beralamat tetap, dia tak boleh menumpang sana sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Anwar turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen atau permit perniagaan.
“Kalau kita dapati permit itu disalah guna kita akan rampas permit itu seperti mana dilakukan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut menyifatkan amalan itu sebagai satu bentuk penipuan apabila ada perniagaan didaftarkan atas nama tempatan tetapi dikawal pihak luar.
“Ini merupakan satu penipuan, sudah register, sudah jual kepada syarikat asing dengan bayaran,” katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk LHDN, Kastam, KPDN, PBT, MCMC, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Imigresen bagi memperketatkan pemantauan.
Beliau berkata Bank Negara dan MCMC akan meneliti platform e-dagang serta aliran kewangan, manakala agensi lain akan memastikan pematuhan lesen, cukai dan penguatkuasaan imigresen dilaksanakan secara menyeluruh.
Anwar turut menjelaskan KPDN dan PBT perlu menyemak pelaksanaan perniagaan di lapangan, manakala LHDN dan Kastam perlu memastikan pematuhan cukai dipenuhi sepenuhnya.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen pula akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan pas dan visa pelawat.
“Ini kerjasama semua badan penguatkuasaan,” katanya.
Perdana Menteri turut meminta Kementerian Komunikasi menyalurkan maklumat kepada rakyat mengenai tindakan yang diambil kerajaan.