KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil langkah responsif dan proaktif melalui pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, serta Bajet 2021 berjumlah RM322.5 bilion, untuk menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kelangsungan perniagaan, dan daya ketahanan ekonomi dalam menangani krisis.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sentiasa komited dalam membantu seluruh Keluarga Malaysia, daripada rakyat sehingga ke peringkat perniagaan, untuk bangun serta berkembang semula dan ini bukan hanya sekadar retorik.

Beliau berkata ekonomi negara telah kembali ke landasan pemulihan kukuh menerusi semua usaha tersebut, serta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), walaupun dalam keadaan mengharungi ancaman varian Delta, serta bencana banjir pada 2021.

"Pelbagai penanda ekonomi juga terus mencerminkan perkembangan yang memberangsangkan, ini termasuk aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) yang berjumlah hampir RM55 bilion, jumlah perdagangan luar mencecah lebih RM2 trilion serta aliran masuk bersih pelabur asing ke (dalam) pasaran bon tempatan yang melebihi RM33 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia di sini, pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata selain itu pada 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 3.1 peratus, manakala kadar pengangguran bagi Disember terus berkurangan kepada 4.2 peratus.

"Kesemua data ini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum COVID-19 melanda negara, namun, kita perlulah sentiasa berwaspada dengan segala kemungkinan dan cabaran ketidaktentuan bagi tahun ini," katanya.

Beliau berkata merujuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), unjuran pertumbuhan ekonomi dunia 2022 dijangka berkurangan berbanding apa yang dicapai pada 2021.

"Ini berikutan ancaman varian Omicron, peningkatan kadar inflasi, serta gangguan rantaian bekalan dunia. Unjuran tersebut turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda, serta pengurangan sokongan fiskal dan rangsangan ekonomi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata Malaysia kini berada di persimpangan jalan yang kritikal.

Dalam menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), perjalanan seterusnya dipenuhi onak dan duri perubahan iklim, serta peralihan negara kepada populasi yang terus menua, serta isu struktur yang pastinya tidak boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua tahun, katanya.

Tengku Zafrul berkata oleh yang demikian, strategi dan inisiatif serta langkah Bajet 2022 dirangka rapi untuk meneruskan momentum pemulihan jangka pendek, selain menerapkan dasar-dasar penyusunan semula jangka panjang.

Beliau berkata dalam melaksanakan kedua-dua agenda tersebut, kerajaan akan mengutamakan dua teras utama iaitu menambah baik pasaran buruh dan memperkasakan sektor perniagaan melalui Bajet 2022.

"Program Semarak Niaga dirangka agar komuniti usahawan kita mampu bangkit semula dan terus berkembang.

"Bersama-sama langkah Bajet 2022 yang akan memudah cara perniagaan, serta pelbagai insentif cukai, kesemua ini akan juga membantu negara mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan untuk Keluarga Malaysia tahun ini. Insya-Allah, kesemua usaha ini akan melonjakkan lagi ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata program bernilai lebih RM40 bilion ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti yang akan memanfaatkan setiap usahawan.

Selain akses kepada pembiayaan, strategi untuk membina daya tahan sektor perniagaan juga tertumpu kepada inisiatif yang akan memacu pelaburan strategik, memudah cara perniagaan, serta memperkasakan agenda digitalisasi dan kelestarian mereka, katanya.

Beliau berkata kerajaan juga kekal komited untuk membantu sektor yang masih terjejas seperti industri pelancongan, kreatif dan peruncitan.

"Secara keseluruhan, insiatif-inisiatif tersebut serta Program Semarak Niaga akan mengembalikan keupayaan, dan memperkasakan komuniti perniagaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Bagi tahun ini, kerajaan mengujurkan pertumbuhan ekonomi negara di antara 5.5 dan 6.5 peratus, selari dengan unjuran IMF (pada 5.7 peratus) dan Bank Dunia (pada 5.8 peratus)," katanya.

Beliau berkata dalam melangkah ke hadapan, MOF akan terus komited untuk menjadi kementerian yang responsif, bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal.

-- BERNAMA