MALAYSIA
Kerajaan teliti cadangan naikkan harga beras putih tempatan - Mohamad Sabu

Menurut Mohamad, kenaikan harga beras putih tempatan tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa sebab perubahan harga akan sentiasa berlaku. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti permintaan segelintir pihak yang memohon supaya harga runcit beras putih tempatan (BPT) dinaikkan daripada RM2.60 kepada RM3.60 sekilogram.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang meneliti cadangan menaikkan harga runcit beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 kepada RM3.60 sekilogram berikutan permintaan segelintir pihak.
- Harga beras import yang menurun menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan berkurang, dan kerajaan sedang menjalankan kajian intensif sebelum membuat keputusan.
- Cadangan kenaikan harga dikaitkan dengan kos operasi yang meningkat dan harga lantai belian padi yang telah dinaikkan sejak Februari lalu.
“(Kenaikan harga) tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa sebab perubahan harga akan sentiasa berlaku. Harga beras import sekarang memang murah dan kita sedang membuat kajian intensif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 (IEC), di sini, pada Isnin.
Forum yang berlangsung sehingga 13 September ini menghimpunkan 500 peserta dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada penggubal dasar, organisasi kerajaan, badan korporat, penyelidik dan komuniti petani.
Pada Ahad, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia dilaporkan berkata, pihaknya memohon kerajaan menaikkan harga runcit beras tempatan kepada RM3.60 sekilogram.
Menurutnya, ia selaras dengan peningkatan kos operasi dan harga lantai belian padi sebanyak RM1,500 satu tan metrik sejak 16 Februari lalu.
Gesaan sama juga disuarakan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia disebabkan pihak pengilang dan pemborong berdepan kos lain yang perlu ditanggung.
Mohamad Sabu pada Sabtu lalu menjelaskan, kementeriannya sedang membuat kajian secara mendalam susulan beras tempatan yang kurang laku di pasaran berikutan kadar harga tidak terlalu jauh berbeza dengan beras import.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami