JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang meneliti untuk memberikan elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, sama seperti yang dinikmati pelajar Program Matrikulasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mana sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Advertisement
"Elaun Tingkatan Enam dengan Matrikulasi, saya setuju untuk disamakan. Kita tengah teliti, sebab keputusan dasar telah dibuat cuma hanya kaedah pelaksanaan (sedang dibincang)," kata beliau ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya soalan oleh seorang pelajar Tingkatan Enam berkaitan mengapa mereka tidak mendapat elaun seperti pelajar program Matrikulasi sedangkan kedua-duanya berada pada tahap pendidikan prauniversiti di bawah KPT.
Ketika ini pelajar Matrikulasi mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BSHP) berjumlah RM250 sebulan.
Anwar mengulas bahawa pelajar Tingkatan Enam harus diletakkan di bawah KPT kerana merupakan sebahagian daripada kategori pasca persekolahan.
Sehubungan itu, beliau berkata kemudahan termasuk pemberian biasiswa untuk pelajar pra-universiti seperti Tingkatan Enam atau Matrikulasi harus disampaikan kepada pelajar.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi bermula tahun ini yang sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok itu secara rasmi pelajar pendidikan tinggi.
--BERNAMA