HAMBURG: Kerajaan akan membincangkan dengan terperinci dan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta maklumat daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Majlis Sukan Negara dan pihak lain yang berkaitan.

"Kita kena lihat dulu secara terperinci. Lihat keseluruhannya sebelum membuat keputusan muktamad," kata beliau pada sidang media pada akhir lawatan enam hari beliau ke Jerman.

Anwar berkata beliau juga telah meminta Kabinet membincangkan tawaran itu pada mesyuaratnya semalam dan keputusan mengenainya dijangka dibuat minggu depan.

"Kita tidak boleh tangguh keputusan," tambahnya ketika diminta mengulas tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya itu bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas.

CGF juga menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Anwar berkata beliau sedar terdapat pelbagai pandangan mengenai tawaran itu, namun ia perlu dilihat dari pelbagai sudut.

"Namun sepertimana kita tahu, sukan olahraga tak boleh dilihat daripada kepentingan ekonomi dan pelaburan sahaja.

"Kita nak bagi juga ruang, galakan dan dorongan kepada atlet olahragawan olahragawati untuk bersaing," katanya.

"Umpamanya kalau kita terima tawaran ini, akan ada program untuk persediaan atlet," kata beliau.

Bagaimanapun signifikan Sukan Komanwel itu sendiri juga perlu dilihat sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Apakah signifikannya, berapa belanja yang diperlukan. Walaupun ada ratusan juta yang disediakan oleh CGF, tapi kalau kita kena belanja sampai billion ringgit lagi, itu mungkin keupayaan kita terbatas," tambah beliau.

Anwar berkata kerajaan akan berbincang secara terbuka mengenai isu tawaran berkenaan dan menerima sebarang pandangan daripada semua pihak.

"Kita akan ambil kira semua pro dan kontra sebelum membuat keputusan," tambah beliau.

-- BERNAMA