MALAYSIA
Kerajaan tepis dakwaan campur tangan badan kehakiman

Anwar menyampaikan ucapan semasa hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Jun di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mencampuri urusan kehakiman negara sebaliknya sentiasa menghormati proses, kedudukan dan kebebasan institusi berkenaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Hormat Institusi Kehakiman: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan kehakiman dan sentiasa menghormati kebebasan institusi tersebut seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
- Pelantikan dan Sambungan Jawatan Tidak Wajar Dipolitikkan: Beliau menolak sebarang kempen atau tekanan politik dalam isu pelantikan atau penyambungan jawatan penjawat awam, termasuk hakim, dan menjelaskan bahawa keputusan tersebut melibatkan proses rasmi yang melibatkan Perdana Menteri, Suruhanjaya, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
- Anwar Seru Pertahankan Institusi Tanpa Pengaruh Politik: Anwar menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi kehakiman dan perkhidmatan awam, serta mengingatkan pengalaman beliau dahulu dijadikan iktibar agar kesilapan tidak berulang.
“Tempoh persaraan itu tidak automatik, apabila bersara ia tidak terus disambung secara automatik.
“Dalam keadaan ini saya ditegur. Malah ada satu kempen mesti sambung, jangan sambung. Ini mana boleh jadi? Institusi yang sepatutnya memiliki integriti dan bebas sudah dipolitikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, suasana sebegitu memperlihatkan keputusan untuk menyambung atau tidak menyambung perkhidmatan seseorang itu dijadikan ukuran kesetiaan politik oleh pihak-pihak tertentu.
"Kalau tak sambung, kumpulan ini setuju. Kalau sambung, kumpulan ini juga setuju. Jadi tidak wajar.
"Bila satu kes disambung, dikata khianat. Satu kes tak disambung, juga dikata khianat. Kalau saudara berada dalam posisi Perdana Menteri, nah... terima sajalah. Sabar.
"Tapi saya nak sebut, itu keadaannya sekarang. Saya rasa bila institusi begini dipolitikkan, ia jadi bahan umum dan dengan keputusan ini, maknanya ada pengkhianatan berlaku," ujarnya.
Tambahnya lagi, tidak sepatutnya wujud sebarang bentuk kempen atau tekanan politik terhadap proses pelantikan penjawat awam termasuk dalam institusi kehakiman.
"Maknanya esok, kalau penjawat awam katalah dari Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) enam bulan sebelum bersara, dikempen habis-habisan. Kalau tak sambung, dikatakan khianat. Kalau sambung, juga khianat.
"Tak boleh begitu dan tak pernah berlaku begitu. Tidak harus berlaku begitu," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menolak dakwaan bahawa semua keputusan pelantikan dan penyambungan jawatan tertentu terletak di bawah kuasa mutlak Perdana Menteri.
"Ini bukan kuasa Perdana Menteri seorang. Kalau sudah faham Perlembagaan, sudah tahu prosesnya.
"Ada auruhanjaya, ada Perdana Menteri, ada Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan-pelantikan baru perlu dapat perkenan Tuanku kemudian dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Jadi semua hal itu harus diikuti," katanya.
Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan kehakiman malah hanya berhubung secara rasmi dengan Ketua Hakim Negara.
"Sebab itu saya elak daripada menemui mana-mana hakim kanan, melainkan Ketua Hakim Negara untuk berbincang.
"Saya ucap terima kasih kerana selama ini hubungan secara peribadi dan perbincangan itu baik. Tafsiran di luar itu soal lain. Tapi bagi saya, dalam semua perjumpaan itu saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman.
"Apa yang dia (hakim) nak putus, itu keputusan mereka. Saya tidak pernah campur. Tapi itu pun dipolitikkan," ujarnya.
Sebagai contoh, beliau merujuk dua kes besar yang menjadi perhatian umum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kedua-duanya menerima keputusan lepas tanpa dibebaskan (DNAA).
"Kalau Najib dapat DNAA, dituduh Perdana Menteri campur tangan dan khianat. Salah. Kena bagi DNAA.
"Kemudian satu pihak lagi, Syed Saddiq baru-baru ini dapat DNAA. Pun dari satu pihak, salah juga.
"Kalau tak dapat DNAA, ia pun salah juga. Saya kata, bukan urusan saya. Soal saya setuju atau tidak, pendirian peribadi saya itu bukan isu. Kita kena hormat keputusan hakim," katanya.
Beliau turut menyentuh pengalaman peribadi suatu ketika dahulu yang berdepan dengan proses siasatan dan perbicaraan tidak mengikut prosedur yang adil.
"Dulu, saya tahu. Saya pernah kena. Dah putus saja, belum didakwa pun, belum ada laporan polis pun, tangkap dulu. Bangunan pun tak ada.
"Kalau seseorang yang ikuti kes saya dulu, tak ada laporan polis lagi, tangkap dulu. Jadi, kita tak boleh ulang kesilapan itu," ujarnya.
Beliau menyeru semua pihak untuk mempertahankan institusi kehakiman dan perkhidmatan awam tanpa dipengaruhi sentimen politik atau kepentingan kumpulan tertentu.
"Kita kena pertahankan, tetapi bukan ikut selera politik atau kelompok. Dalam satu-satu kes, ada kelompok elit peguam yang setuju. Ada juga badan Islam yang menentang.
"Saya tidak terpengaruh dengan begitu. Kelompok elit ini yang boleh melakar dengan begitu baik menggunakan media. Tetapi pada badan Islam yang pertikai itu pun banyak. Dua-dua saya baca, teapi tidak harus mempengaruhi kita," katanya.
Jelas beliau, kerajaan menghormati semua pandangan tetapi tetap berpandukan proses dan prinsip undang-undang.
"Apa-apa kes penyambungan, itu terpaksa Perdana Menteri rujuk perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan. Yang lantikan baharu juga perlu perkenan dan dibawa pada Majlis Raja-Raja Melayu," katanya.
Terdahulu media melaporkan kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada Rabu ini masih menjadi tanda tanya sama ada diberi lanjutan tempoh perkhidmatan enam bulan lagi.
Ketua Hakim Negara ke-10 itu dijadual bersara secara rasmi apabila mencapai usia 66 tahun pada 2 Julai ini (Rabu) iaitu umur persaraan wajib hakim dan hari terakhir perkhidmatan beliau pada Selasa.
Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami