Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kerajaan Terengganu batal mini kejohanan bola jaring campuran di Jeram

[TB]_Mini Kejohanan Bola Jaring Campuran_SINAR
Hantaran di laman sosial berhubung isu penganjur Mini Kejohanan Bola Jaring Campuran yang tular di media sosial baru-baru ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu membatalkan penganjuran Mini Kejohanan Bola Jaring Campuran di Jeram, Manir, di sini yang tular di media sosial selepas mendapati kejohanan itu bercanggah dengan garis panduan sukan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim berkata siasatan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati kejohanan berkenaan dianjurkan oleh pihak persendirian, bukannya di bawah kelolaan agensi atau jabatan kerajaan.

Beliau berkata susulan itu, pihak penganjur juga diarah untuk mengemukakan permit kelulusan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu pada masa hadapan.

"Kerajaan negeri mengambil maklum satu penganjuran Mini Kejohanan Bola Jaring Campuran pada 3 Oktober ini, di Jeram, Manir melalui poster yang telah tular di media sosial. Susulan aduan awam diterima, kami telah memanjangkan pemakluman kepada PBT untuk membuat siasatan serta menghubungi pihak penganjur kejohanan secara terus.

“Oleh sebab konsep penganjuran ini bertentangan dengan Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu Perkara 4 (Garis Panduan Umum), pihak penganjur tidak dibenarkan meneruskan (program) melainkan jika diadakan tanpa penyertaan campuran, iaitu melibatkan peserta wanita sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hishamuddin berkata walaupun kerajaan Terengganu sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang penganjuran aktiviti sukan, semua pihak perlu menghormati serta mematuhi garis panduan ditetapkan.

Beliau berkata keputusan pembatalan itu bukan bertujuan menyekat masyarakat daripada bersukan atau menafikan ruang wanita dalam aktiviti sukan, sebaliknya mahu memastikan perkembangan sukan seiring dengan nilai agama, budaya dan adab masyarakat Terengganu.

"Kita tidak bermaksud untuk melunturkan semangat kesukanan dalam diri rakyat Terengganu, tetapi aktiviti itu perlu diterapkan dengan nilai Islamik dan tidak melanggar peraturan ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement