Skip to main content

Malaysia

Kerajaan tidak cadang tarik balik keputusan syarat baharu import EV - MITI

61633420823_KenderaanElektrik.jpg
Menurut MITI, Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang seimbang antara menjaga kepentingan pengguna dan membangunkan industri automotif tempatan. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik keputusan mengenai syarat baharu pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang siap dipasang di luar negara (CBU) yang diumumkan baru-baru ini, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

MITI menjelaskan langkah itu adalah selaras dengan teras Dasar Automotif Nasional (NAP) yang bertujuan merasionalisasikan kemasukan model EV bagi melengkapkan tawaran produk dalam pasaran di samping memastikan pembangunan industri automotif tempatan berdaya saing dan mampan.

“Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang seimbang antara menjaga kepentingan pengguna dan membangunkan industri automotif tempatan.

“Pengguna berhak menikmati kenderaan EV yang mampu milik, manakala negara pula memerlukan industri automotif yang kukuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh rantaian bekalan domestik,” jelas MITI dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menyatakan demikian bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sama ada kerajaan akan menarik balik keputusan yang diumumkan oleh MITI baru-baru ini untuk menaikkan harga EV kerana bercanggah dengan dasar kerajaan untuk mempercepat penggunaan EV dalam kalangan rakyat dan hak pengguna untuk memilik kenderaan EV murah dan mampu milik (bawah RM100,000 atau RM150,000).

Menurut MITI kerajaan tidak menghentikan usaha memperluas penggunaan EV sebaliknya masih meneruskan pengecualian 100 peratus duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Dis, 2027.

“Langkah ini membolehkan pengeluar menawarkan model EV pada harga yang lebih kompetitif, di samping menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan,” tambah kementerian itu.

Kementerian memaklumkan pada masa sama, kerajaan turut mempercepat pembangunan sistem EV melalui peluasan rangkaian kemudahan pengecasan di seluruh negara.

“Pendekatan ini adalah penting kerana kemampuan rakyat memiliki EV bukan sahaja bergantung kepada harga kenderaan, malah turut dipengaruhi oleh kemudahan pengecasan yang mudah diakses.

“Pengalaman industri kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) membuktikan bahawa penerimaan pengguna berkembang seiring dengan kewujudan ekosistem yang kukuh, termasuk sokongan lebih 3,000 stesen minyak di seluruh negara,” tambahnya.

MITI menjelaskan matlamat kerajaan bukan sekadar meningkatkan jualan EV dalam jangka pendek malah juga membangunkan keseluruhan ekosistem EV secara mampan supaya rakyat dapat menikmati kenderaan yang lebih mampu milik/

“Manakala negara pula memperoleh manfaat daripada pertumbuhan industri, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan teknologi tempatan,” menurut MITI.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement