Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemas undang-undang di bawah kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata, ia penting bagi mengurangkan penyebaran fitnah yang kini berleluasa di media sosial.

"Bukannya kita tak mahu kebebasan, tetapi kita cuma tak mau kebebasan mutlak sehingga perkara yang tidak benar dianggap sebagai benar dan diterima.

"Ini sesuatu yang tidak adil dan perlu diperbetulkan. SKMM perlu meningkatkan penguatkusaan dan undang-undang diperkemas" katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Selangor di sini hari ini.


Najib yang juga Presiden UMNO berkata, media sosial telah dieksploitasi sebaiknya oleh pembangkang untuk meruntuhkan persepsi rakyat kepada kerajaan.

"Kita sebagai anggota pentadbiran kerajaan kini berdepan dengan 'perbicaraan oleh media sosial'. Dunia bagai sudah terbalik apabila kita dianggap salah dan terpaksa pula membuktikan kita ini tidak bersalah.

"Bila melibatkan pembangkang, semua itu dianggap sebagai tuduhan yang palsu dan fitnah. Malah ada yang terus dipilih dan menang semasa pilihan raya," tambahnya.