KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan bagi menyelaras usaha meningkatkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kabinet meluluskan penubuhan jawatankuasa itu pada 17 Julai lalu dan ia dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Matlamatnya adalah untuk kita menyelaraskan kerjasama ataupun usaha ikhtiar di peringkat pelbagai agensi dan juga kementerian supaya tidak lagi bergerak secara silo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Esplanade KLCC hari ini.
Menurut Armizan, jawatankuasa berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk import, meningkatkan sumbangan produk tempatan kepada pertumbuhan ekonomi serta membantu usahawan tempatan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertindak sebagai urus setia jawatankuasa itu, yang turut melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan.
Armizan berkata, kerajaan turut mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada semua pemegang taruh bagi memastikan dasar serta strategi yang dirangka memenuhi keperluan industri.
Katanya, kementerian dan agensi berkaitan akan mengumpulkan maklum balas daripada pemain industri sebelum membawanya untuk pertimbangan jawatankuasa khas berkenaan.
“Kalau kerajaan sahaja yang merangka dasar dan polisi tersebut, ia mungkin tidak dapat memenuhi aspirasi semua pihak,” katanya.
Beliau menambah, jawatankuasa itu juga akan meneliti kebimbangan pengusaha tempatan berhubung kemasukan dan lambakan produk asing, termasuk yang dijual menerusi platform dalam talian.
Katanya, mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan dijangka diadakan dalam masa terdekat selepas Fadillah kembali bertugas, manakala kementerian terlibat kini sedang memperkemaskan input masing-masing.