KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yakin Kementerian Kerja Raya akan terus memberi komitmen menyiapkan secepat mungkin projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dengan kualiti ditetapkan serta peruntukan yang sudah diluluskan.

Beliau berkata projek itu menjadi harapan rakyat di Sabah dan Sarawak kerana ia merupakan pembawa perubahan yang bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi dapat memberi keselesaan, keselamatan dan lebih penting mengembangkan ekonomi rakyat serta kedua-dua negeri berkenaan.

"Jangkaan saya kalau di Sarawak, keseluruhan Fasa 1 akan siap pada 2025 kecuali Miri dan kemudian kita buka lagi untuk fasa yang menyambung dan melintasi Brunei.

"Itu saya jangka mengambil masa lima tahun lagi bila proses tender siap dan sebagainya," katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio hari ini.

Di Sabah pula, beliau berkata Fasa 1A kini sudah selesai 85 peratus dan dijangka siap pada 2025, manakala Fasa 1B akan bermula selepas tender dimuktamadkan dan akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Projek LPB Sabah melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer yang bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin hingga ke Tawau, dimulakan pada Julai 2016.

Bagi projek Fasa 2 dan Fasa 3 di Sabah dan Sarawak, beliau berkata ia akan mengambil masa lebih lama berikutan kaedah pembinaan berbeza disebabkan oleh bentuk muka bumi yang memerlukan peruntukan lebih tinggi dan komplikasi pembinaan lebih besar.

Pada 31 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata beliau mahu projek LPB di Sabah dan Sarawak diselesaikan dengan kaedah 'fast track' atau laluan pantas demi rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata antara cabaran dalam projek itu adalah permukaan yang berbeza di kedua-dua negeri berkenaan, dengan Sabah mempunyai bentuk muka bumi berbukit manakala Sarawak bertanah lembut.

"Perbezaan ini sudah pasti memerlukan kaedah pelaksanaan (pembinaan) yang berbeza walaupun standard reka bentuk dan kualiti tetap sama," katanya.

Justeru, beliau menggalakkan kontraktor-kontraktor supaya mengadakan usaha sama dan perkongsian antara syarikat berpengalaman dari Semenanjung dan Borneo bagi melaksanakan projek tersebut.

"Apabila penggabungan ini ada, maknanya kita berkongsi dari segi kepakaran, ilmu, kemahiran serta teknologi yang dibawa oleh sesebuah syarikat itu," katanya.

-- BERNAMA