Skip to main content

Malaysia

Kerangka perundangan mercun perlu dinilai semula, lebih responsif cabaran semasa - ABIM

61711276952_mercun.jpg
Penguatkuasaan yang tidak menyeluruh ketika ini dibimbangi membuka ruang kepada penyalahgunaan, selain meningkatkan risiko keselamatan awam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerangka perundangan berkaitan mercun sedia ada yang bersifat lama perlu dinilai semula agar lebih responsif kepada cabaran semasa, termasuk penjualan dalam talian dan kelemahan pemantauan rantaian bekalan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata penguatkuasaan yang tidak menyeluruh ketika ini dibimbangi membuka ruang kepada penyalahgunaan, selain meningkatkan risiko keselamatan awam.

Advertisement

Beliau berkata pendekatan yang lebih tegas dan bersepadu perlu dilaksanakan termasuk melalui pengelasan semula mercun mengikut tahap risiko, kawalan pembelian lebih ketat, penetapan zon penggunaan yang sesuai serta penguatkuasaan lebih proaktif sebelum musim perayaan.

“Pendekatan bermusim yang bersifat reaktif tidak lagi memadai. Sudah tiba masanya anjakan kepada dasar pencegahan yang lebih berkesan dan berteraskan keselamatan awam dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fawwaz turut menyatakan kebimbangan terhadap budaya menunjuk-nunjuk melalui penggunaan mercun bernilai ribuan ringgit yang disifatkan sebagai pembaziran dan pergeseran nilai masyarakat, memandangkan ia berlaku sejurus selepas Ramadan yang menuntut kesederhanaan.

Beliau berkata peningkatan penggunaan mercun yang sering mencetuskan insiden kecederaan serta gangguan ketenteraman awam adalah isu keselamatan berulang yang tidak lagi boleh dianggap sekadar fenomena bermusim.

“Isu mercun hari ini bukan lagi soal tradisi tetapi soal keselamatan awam dan kegagalan kita mengekang budaya berisiko. Kegembiraan tidak boleh dibayar dengan nyawa dan keselamatan masyarakat,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata kebenaran penjualan mercun secara berlesen bukan jaminan keselamatan kerana realiti semasa menunjukkan wujud jurang antara dasar dan pelaksanaan termasuk penjualan bahan berbahaya secara tidak terkawal serta akses mudah kepada golongan kanak-kanak.

Beliau turut menekankan peranan ibu bapa dan penjaga dalam memantau aktiviti anak-anak ketika bermain mercun bagi mengelakkan risiko kecederaan serius.

Sehubungan dengan itu, ABIM menggalakkan alternatif sambutan yang lebih selamat dan membina serta menyeru masyarakat untuk kembali menghayati nilai adab, tanggungjawab dan ihsan dalam meraikan perayaan.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara bagi memastikan musim perayaan disambut dengan selamat tanpa insiden tidak diingini.

Arahan itu susulan beberapa insiden kebakaran gerai jualan bunga api dilaporkan berlaku di pelbagai lokasi sepanjang perayaan baru-baru ini termasuk George Town, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang turut menyebabkan kerosakan serta kemusnahan harta benda.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video