KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung pembangunan kerangka unsur nadir bumi (REE), minggu depan.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selain mengambil kira kawasan berpotensi untuk diteroka tanpa mengganggu ekosistem hutan simpan kekal, tumpuan akan diberikan kepada aspek pemprosesan yang perlu dibuat dalam negara.

Beliau berkata 80 peratus kawasan yang berpotensi mengandungi REE dan unsur nadir bumi bukan radioaktif berada di luar kawasan hutan simpan kekal.

"Jadi kita minta kalau boleh tumpukan terlebih dahulu di kawasan itu sebelum sentuh hutan simpan kekal.

"Benar kita boleh buat sustainable mining (perlombongan secara mampan) dan sebagainya tetapi kita minta perkara ini diperhalusi terlebih dahulu.

"Kita khuatir sekiranya tidak dipantau dengan baik ia akan beri kesan kepada hutan kita yang merupakan antara (hutan) tertua di dunia dan nak pulih semula akan ambil masa yang sangat lama," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Nik Nazmi berkata terdapat hasil REE yang berkemungkinan memerlukan kepakaran dari luar untuk diproses, namun sebarang kerja pemprosesan akan diberi penekanan untuk dilaksanakan dalam negara.

Beliau berkata REE adalah unsur yang diperlukan untuk menghasilkan pelbagai produk dan teknologi seperti kenderaan elektrik (EV), turbin dan kincir angin untuk penghasilan tenaga boleh baharu dan telefon.

-- BERNAMA