KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan pakej rangsangan bersasar bagi melindungi kebajikan rakyat serta memastikan kelangsungan perniagaan susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, langkah berkenaan penting khususnya bagi membantu golongan rentan, sepertimana pendekatan yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.
Advertisement
Beliau menjelaskan antara kumpulan yang diberi perhatian termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), petani, kontraktor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri.
"Ini semua dalam radar kita untuk lihat dari segi kita hendak sesebuah perniagaan itu kekal dan boleh diteruskan. Dalam masa macam ini, kerajaan sudah tentu kena berbelanja.
"Perbelanjaan ini (pakej), kita kena tengok betul-betul. Maknanya, kita boleh kekal dalam ekonomi yang baik dan warga (rakyat) boleh hidup. Kesinambungan hidup penting," katanya memetik laporan Media Selangor.
Ahmad Fadzli berkata perbincangan awal berkaitan semakan semula belanjawan negeri telah diadakan minggu lalu susulan tekanan kos sara hidup, dan kini memasuki peringkat pemetaan data.
Menurut beliau, sebarang pelarasan belanjawan akan dibuat secara kes demi kes dengan memberi keutamaan kepada kumpulan yang paling terkesan sebelum penyusunan semula peruntukan dilaksanakan.
Tambahnya, peruntukan juga boleh dialihkan kepada program tertentu seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) serta inisiatif bantuan makanan, bergantung kepada keperluan semasa.
"Cuma kalau ada peruntukan tambahan atau kita hendak guna semula peruntukan yang masih ada ke arah menangani krisis, itu belum dibincang secara terperinci.
"Dasar bekerja dari rumah sudah berjalan. Jadi, maknanya kita kena bersedia sekurang-kurangnya sampai enam bulan (ketidaktentuan)," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi bagi memastikan penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan berjalan lancar, khususnya dalam mendepani situasi krisis.