MALAYSIA
Kereta Bezza dinaikkan, isteri anggota tentera masih belum ditemui

Jentera yang digunakan untuk menarik keluar kereta Perodua Bezza dari Sungai Triang. Gambar kecil: Zulkiflee
BERA: Sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terjatuh ke dalam Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong di sini berjaya dinaikkan pada Selasa.
Ringkasan AI
- Sebuah kereta Perodua Bezza yang terjunam ke dalam Sungai Triang berjaya dinaikkan, namun mangsa wanita masih belum ditemui dan operasi mencari diteruskan.
- Mangsa, Sakirah Akop, sempat menyerahkan anaknya kepada suami sebelum dihanyutkan arus deras; kereta dipercayai bergerak sendiri akibat gear tertolak ke posisi drive.
- Operasi SAR melibatkan 103 anggota dan penduduk kampung, dengan pencarian diperluas ke kawasan berisiko dan penggunaan jerami untuk mengesan objek hanyut.
"Mangsa masih belum ditemui setakat ini dan pencarian masih diteruskan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Sebelum ini, seorang wanita dikhuatiri lemas selepas kereta dinaikinya bersama anak terjunam ke dalam Sungai Triang.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang Isnin, mangsa, Sakirah Akop, 31, sempat menyerahkan anak perempuan berusia setahun empat bulan kepada suaminya yang juga anggota tentera, Abdul Wahid Randa, 32, sebelum dihanyutkan arus deras sungai.
Sebelum itu, mangsa bersama anak berada dalam kereta tersebut kira-kira lapan meter dari lokasi suaminya memancing.
Zulkiflee berkata, seramai 103 anggota terdiri pelbagai agensi dan penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua.
"Operasi pencarian diperluaskan meliputi radius 200 meter dan bertumpu di kawasan berisiko seperti celahan pokok tumbang serta longgokan sampah, yang turut diperiksa dari lokasi kereta ditemui.
"Penduduk turut membantu memasang jerami di permukaan sungai bagi mengesan sebarang objek hanyut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati gear kereta berada dalam kedudukan ‘drive’, dipercayai tertolak secara tidak sengaja, menyebabkan ia bergerak sendiri dan terjunam ke dalam sungai.
“Kereta ditemui dalam keadaan terbalik dengan keempat-empat tayar masih berangin, menyebabkan ia sukar dikesan malam tadi," katanya.
Beliau memberitahu, mangsa berjaya keluar dari kenderaan tersebut dan sempat menyerahkan anaknya kepada suami dan diletakkan di tebing sungai.
"Ketika ingin menyelamatkan isterinya, anak pasangan tersebut turun ke bawah menyebabkan suaminya berpatah kembali.
"Apabila berada di darat, suami mangsa melihat mangsa sudah hilang dan kereta tenggelam," tambahnya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami