Skip to main content

Malaysia

KPWKM fokus kepada ekonomi penjagaan, perundangan sosial dan berdikari

Nancy menyifatkan sektor penjagaan sebagai agenda penting negara apabila Malaysia bergerak ke arah masyarakat menua dan wanita sering berdepan cabaran untuk bekerja apabila tiada penjaga terlatih bagi ibu bapa atau anak istimewa di rumah. - Gambar fail/BERNAMA
Nancy menyifatkan sektor penjagaan sebagai agenda penting negara apabila Malaysia bergerak ke arah masyarakat menua dan wanita sering berdepan cabaran untuk bekerja apabila tiada penjaga terlatih bagi ibu bapa atau anak istimewa di rumah. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memperkemas agenda perlindungan dan pemerkasaan sosial sepanjang 2026, dengan menekankan kesinambungan dasar, kerangka perundangan serta kesiapsiagaan menghadapi masyarakat menua menjelang 2027.

Menterinya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementerian pada tahun ini memberi tumpuan kepada perlindungan dan pemerkasaan sosial yang lebih tersusun berbanding sebelumnya, bermula dengan kerangka nilai KASIH serta Dasar Kasih Keluarga Negara 2026 hingga 2030.

Jelasnya lagi, usaha tersebut turut digandingkan dengan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara yang diluluskan pada Mei 2026 serta penstrukturan semula organisasi kementerian pada Jun 2026.

Advertisement

Tindakan itu, kata Nancy, penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada keluarga, wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan rentan lebih berkesan.

"Pada tahun 2026 ini kita memfokuskan kepada perlindungan dan pemerkasaan sosial yang lebih tersusun. Kalau dahulu ia kurang teratur, kini semakin tersusun kerana kita mempunyai dasar," katanya dalam wawancara Agenda AWANI: KPWKM | Mengukir Kasih Untuk Semua pada Selasa.

Advertisement

Beliau menegaskan ukuran kejayaan kementerian tidak hanya terletak pada jumlah program, sebaliknya pada impak sebenar terhadap kesejahteraan dan martabat golongan sasar.

"Kejayaan kami di KPWKM tidak hanya diukur melalui bilangan program. Kejayaan itu tidak boleh diukur semata-mata dari situ, tetapi kita mahu melihat kehidupan rakyat menjadi lebih selamat, berdaya dan bermaruah. KPWKM juga menilai keberkesanan dasar, polisi dan program yang dilaksanakan bersama pemegang kepentingan kita supaya penambahbaikan boleh dibuat," tegas beliau.

Ekonomi penjagaan dan perlindungan warga emas menjelang 2030

Dalam wawancara itu, Nancy menyifatkan sektor penjagaan sebagai agenda penting negara apabila Malaysia bergerak ke arah masyarakat menua dan wanita sering berdepan cabaran untuk bekerja apabila tiada penjaga terlatih bagi ibu bapa atau anak istimewa di rumah.

"Kita menyasarkan 2,000 penjaga terlatih dicapai pada bulan November ini dan insya-Allah dapat direalisasikan sebelum 30 November ini," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan tersusun kementerian menyasarkan latihan seramai 50,000 penjaga terlatih menjelang tahun 2030, selain Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang telah mendapat kelulusan Kabinet untuk dibentangkan tahun hadapan selepas sesi libat urus.

"Menjelang tahun 2030, kita akan melatih 50,000 penjaga yang terlatih, manakala bagi tahun ini seramai 2,000 orang dilatih oleh 50 pelatih yang berkaliber," ujarnya.

Pemerkasaan wanita, golongan rentan dan peruntukan 2027

Menyentuh mengenai golongan wanita, ibu tunggal dan kumpulan rentan, Nancy berkata, Kementerian mahu kumpulan itu melangkah keluar daripada kebergantungan kepada bantuan semata-mata.

Atas sebab itu, jelasnya lagi, KPWKM merangka dasar bagi membina keupayaan ekonomi, keyakinan dan kemandirian, seiring peningkatan empat peratus peruntukan belanjawan kementerian bagi tahun 2027.

"Kita tidak mahu wanita hanya menjadi golongan yang menunggu bantuan, sebaliknya kita mahu mereka mempunyai peranan dan peluang untuk terlibat dalam ekonomi," katanya lagi.

Beliau menambah pelbagai inisiatif digerakkan merentas peringkat keluarga dan komuniti termasuk program Budiman Negara serta Men's Empowerment Network bagi menggalakkan tanggungjawab bersama lelaki, pusat remaja KafeTEEN, kursus Smart Start, geran peralatan dan bimbingan kemahiran wanita, di samping RUU Profesion Kerja Sosial dan perancangan akta berkaitan gelandangan pada masa hadapan.

"Pelbagai golongan rentan yang memerlukan bantuan tidak semestinya perlu sentiasa bergantung kepada bantuan, dan inilah perubahan paling utama yang dibawa iaitu memastikan mereka benar-benar mampu berdikari," tegas beliau.

 

 

Must Watch Video

Advertisement