JOHOR BAHRU: Kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor Fasa 1 akan mengambil masa tujuh bulan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata zoo berusia 95 tahun itu kini ditutup bagi pelaksanaan Intervensi Fasa 1 meliputi lima zon utama iaitu balai ketibaan, pintu masuk utama, pekarangan, sebahagian sangkar burung dan tempat penyediaan makanan haiwan yang baharu.

"Objektif intervensi ini hanya melibatkan penambahbaikan infrastruktur umum seperti kawasan tempat menurunkan penumpang dan ruang letak kereta yang lebih teratur, pintu masuk utama dan sistem tiket, ruang legar serta susun atur semula komponen.

"Selain itu, ia juga tidak melibatkan peralihan haiwan-haiwan sedia ada di dalam zoo dan akan disusuli dengan fasa-fasa akan datang yang melibatkan penambahbaikan komponen lain, " katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Baru-baru ini, kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi kerja-kerja menaik taraf zoo tersebut.

Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini, mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar serta mempunyai lebih 100 spesies haiwan.

Mohd Jafni berkata turut dijalankan ialah kerja-kerja menaik taraf sebahagian Jalan Gertak Merah oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang lengkap dengan tempat letak kereta teratur, laluan pejalan kaki berbumbung dan laluan basikal, bagi menyokong projek penambahbaikan itu.

"Kerja-kerja menaik taraf di Jalan Gertak Merah ini akan melibatkan perubahan laluan sebagaimana kelulusan yang akan berkuat kuasa Januari 2024," katanya.

-- BERNAMA