Kumpulan penyiasat tempatan hari ini mula mengalih dan mengambil serpihan bangkai MH17 dan juga cebisan mayat penumpang pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di kawasan nahas dekat timur Ukraine.

Serpihan dan sisa mayat tersebut akan dibawa ke Belanda untuk pemeriksaan lanjut.

Pakar-pakar dari Belanda berada di lokasi untuk memantau kerja-kerja memotong serpihan bangkai pesawat tersebut oleh warga Donetsk dan meletakkannya ke atas lori dengan menggunakan kren.

Pihak berkuasa dari Belanda pada mulanya mahu menguruskan sendiri serpihan pesawat tersebut, namun akhirnya bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak pemberontak di situ atas sebab keselamatan.

Lembaga Keselamatan Belanda dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut bakal mengambil masa beberapa hari, sambil menambah bahawa dapatan dari lokasi nahas itu mampu membantu siasatan mengenai punca pesawat malang itu terhempas.

Namun begitu, tidak semua serpihan daripada nahas berkenaan akan diambil. Mereka sebaliknya hanya menumpukan pada serpihan yang paling penting untuk diperiksa iaitu bahagian tayar, sayap dan tangki minyak MH17.

“Serpihan tersebut adalah dari bahagian pesawat paling banyak diduduki penumpang yang masih belum dikenal pasti. Ia merupakan bahagian yang paling sensitif,” ujar jurucakap badan pemantau Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) Michael Bociurkiw.

Ukraine dan negara-negara Barat telah menuduh puak pemisah pro-Rusia bertanggungjawab menembak jatuh MH17 dengan menggunakan peluru berpandu. Rusia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.