IPOH: Operasi perlombongan lantanid iaitu sejenis nadir bumi di Hulu Perak, masih belum dimulakan, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad  berkata, imej yang ada di kawasan berkenaan adalah kerja-kerja awalan seperti membuat jalan dan kolam tadahan.


Menurutnya, imej yang dipaparkan melalui satelit itu adalah struktur lama yang dibuat untuk kerja-kerja awalan bagi mengenal pasti kehadiran bahan tersebut di kawasan berkenaan.

“Saya ingat perkara ini dah lama sebelum saya jadi Menteri Besar,  selepas kerajaan terdahulu mengumumkan penemuan mineral baharu itu.


“Ia (kerja-kerja awalan) telah dimulakan secara kecil-kecilan di dalam tanah kepunyaan Perbadananan Pembangunan Pertanian Negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Koperasi Negara 2022 sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi, Sambutan Usahawan Negara (MUN) dan Minggu PMKS Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kata Saarani, apabila menjadi Menteri Besar, beliau telah mengarahkan kerja-kerja itu dihentikan pada Januari 2021, sehingga prosedur operasi standard (SOP) mengenainya diperolehi.

“Sampai kita dapat SOP yang diluluskan Kabinet, baru kita buka balik,” ujarnya.

Jelasnya, walaupun laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu telah diluluskan Mei lalu, tetapi masih banyak proses yang perlu dilakukan sebelum kerja-kerja perlombongan boleh dimulakan.


Katanya, terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA), untuk mendapatkan kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Daerah Gerik.


Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa kerja-kerja perlombongan mineral baharu itu telah dimulakan, berdasarkan kepada paparan imej satelit.


Tapak itu telah diperuntukkan untuk perlombongan lantanid, iaitu 15 unsur kimia, biasanya dikenali sebagai nadir bumi, dan digunakan untuk membuat komponen elektronik.


Kawasan tersebut terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau yang dikatakan menjadi rumah kepada hidupan liar terancam termasuk Harimau Malaya.