TANJUNG MALIM: Juline Ulana sanggup melakukan kerja sambilan di hotel dan restoran sebaik tamat pengajian Julai lepas, semata-mata ingin mengumpul wang untuk membeli tiket penerbangan buat ayahnya, Ulana Monteri dari Ranau, Sabah menghadiri majlis konvokesyennya di sini hari ini.

Graduan berusia 24 tahun itu gembira apabila dapat menyediakan tiket penerbangan bagi ibu, abang dan bapanya sebulan lepas untuk menyaksikannya menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal dan Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Namun, hasrat untuk membawa bapanya tidak kesampaian apabila bapanya berusia 64 tahun itu meninggal dunia akibat kanser hidung tahap empat semalam.

"Sepatutnya bapa saya ikut bersama kami tetapi tiketnya terpaksa dibatalkan kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Apabila saya, ibu dan abang sampai di tempat penginapan, kami dapat panggilan mengatakan bapa sudah tiada kira-kira 3.30 petang semalam," katanya ketika ditemui pada istiadat konvokesyen UPSI ke-25 hari ini.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata walaupun gembira kerana berjaya mendapatkan segulung ijazah, jauh di sudut hatinya tetap sedih kerana kehilangan bapa tersayang dan terkilan kerana bapanya tidak sempat menyaksikan dia naik ke pentas menerima skrol.

"Sebelum ini, bapa pernah beritahu dia boleh hadir kerana kesihatannya agak stabil, tetapi kira-kira dua minggu sebelum konvokesyen, bapa beritahu saya tidak dapat ikut walaupun saya sudah membeli tiket. Saya tamat pengajian sebab nak tengok bapa sihat, mahu dia tengok saya terima ijazah di pentas," katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, pada istiadat konvokesyen hari ini Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan watikah pelantikan selain menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah antaranya Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan) dan Pingat Emas Naib Canselor kepada penerima terlibat.

Konvokesyen UPSI ke-25 yang bermula hari ini hingga 29 Nov menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 graduan merangkumi 121 Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma dan 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

-- BERNAMA