Sebahagian serpihan MH17 yang ditemui selepas nahas pada 17 Julai itu. -gambar fail
Berikut kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Seri Perdana, Putrajaya awal hari Selasa."Sepanjang beberapa hari lepas, kami berusaha di sebalik tabir bagi mewujudkan hubungan dengan mereka yang mengawal lokasi nahas MH17.
Kini, hubungan itu sudah terjalin. Dalam keadaan yang sukar dan tidak menentu, kami telah membincangkan masalah-masalah yang membelenggu kami: mendapatkan bukti penting daripada pesawat, menjalankan siasatan bebas, dan paling penting, mengambil mayat mangsa.
Malam ini, kami telah mencapai asas persetujuan untuk berbuat demikian.
Awal petang tadi, saya bercakap dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah di mana tragedi itu berlaku. Kami mencapai persetujuan tentang perkara berikut:
Pertama, 282 mayat, yang ketika ini berada di Torez, akan dipindahkan dengan kereta api ke Kharkiv untuk diserahkan kepada para wakil dari Netherlands.
Kereta api itu akan bertolak petang ini mengikut waktu Ukraine, dan akan diiringi enam anggota pasukan pengumpul bahan bukti dari Malaysia. Mayat-mayat itu kemudian akan diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda, bersama pasukan Malaysia. Setelah selesai semua kerja forensik, mayat warganegara Malaysia akan dibawa pulang ke Malaysia.
Kedua, pada kira-kira 9 malam ini waktu Ukraine, dua kotak hitam akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk, yang akan menyimpan kotak berkenaan.
Ketiga, para penyiasat bebas antarabangsa akan diberi jaminan keselamatan masuk ke lokasi nahas untuk memulakan siasatan penuh tentang tragedi itu.
Saya perlu tegaskan walaupun persetujuan telah dicapai, namun ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum diselesaikan.
Masih ada kerja yang perlu dilakukan, kerja yang bergantung kepada hubungan yang berterusan dengan jujur. Setakat ini Borodai dan orangnya memberi kerjasama.
Saya meminta semua pihak supaya terus bekerjasama bagi memastikan persetujuan itu dihormati; supaya mayat rakyat kita diserahkan kepada kita, agar kotak hitam diserahkan, dan supaya pasukan antarabangsa diberi akses penuh ke lokasi terbabit.
Hanya selepas itu, barulah siasatan mengenai MH17 boleh benar-benar bermula; barulah mangsa boleh diberi penghormatan yang sewajarnya. Kita perlu tahu apa yang menyebabkan pesawat itu terhempas, dan siapa yang bertanggungjawab, agar keadilan boleh ditegakkan.
Baru-baru ini, ada ketikanya, saya berasa mahu menyuarakan dengan lantang kemarahan dan kepiluan yang dirasai rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kadang kala, kita perlu bekerja secara senyap untuk mendapat hasil yang lebih baik.
Saya faham, bagi anggota keluarga, tiada apa yang boleh diubah kembali. Nyawa yang telah hilang tidak boleh dikembalikan; maruah yang hilang tidak boleh dipulihkan.
Perasaan saya sentiasa bersama mereka yang kehilangan orang yang disayangi dalam tragedi MH17. Kami berharap dan berdoa agar persetujuan yang dicapai malam ini akan membawa kepada langkah yang jelas ke arah penyelesaian.