Kerajaan sentiasa menekankan pentingnya kerjasama serantau khususnya ASEAN serta rangkaian hubungan diplomatik yang menjangkau seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hubungan itu termasuk mendepani sebarang cabaran keselamatan bentuk baru yang mungkin timbul selepas ini.

"Dunia kini menyakini ASEAN sebagai platform keamanan dan kestabilan di kalangan anggotanya selama ini.

"Saya yakin kerjasama yang berkesan dan dekat akan terus menjana keupayaan untuk mengenal pasti dan menangani ancaman dalam sebarang bentuk yang boleh memudaratkan kepada keselamatan dan kestabilan serantau,'' katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Forum Putrajaya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Forum itu diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 mulai 14 hingga 17 April ini.

Terdahulu, Muhyiddin membuat lawatan dan melihat persembahan komando dalam simulasi menyelamatkan mangsa culik pada DSA 2014.

Tambahnya, cara ASEAN dalam menangani sebarang konflik serta krisis dengan konsensus dan saling menghormati turut menjamin keharmonian di antara negara anggota.

"Dunia turut melihat kepentingan ASEAN sebagai landasan kestabilan dan rangkaian kukuh dengan negara kuasa serantau seperti China, India, Jepun dan Korea,'' ujarnya.

Jelasnya, negara turut melihat usaha mendapatkan satu kerusi bukan tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun depan satu petanda baik untuk kecemerlangan ASEAN secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut memuji dan menghargai sumbangan negara-negara yang terlibat di dalam operasi pencarian pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.