LONDON: Jaguh golf dunia, Tiger Woods bakal terlepas kesemua empat kejohanan utama buat tahun kedua berturut-turut selepas memilih untuk tidak mendaftarkan diri bagi Kejohanan Terbuka musim panas ini, lapor PA Media/dpa.
Kesemua pemain yang layak diberi tarikh akhir untuk memaklumkan kepada pihak R&A (penganjur Kejohanan Terbuka) sama ada mereka akan beraksi di Royal Birkdale pada Julai ini.
Bagaimanapun, nama Woods tidak tersenarai selepas tempoh berkenaan tamat minggu lepas.
Ketidakhadiran beliau bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan pemain berusia 50 tahun itu -- yang tidak menyertai mana-mana kejohanan kompetitif sejak Terbuka 2024 di Troon akibat kecederaan dan prosedur perubatan -- mengumumkan untuk berehat seketika daripada sukan berkenaan bagi mendapatkan rawatan selepas beliau didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol susulan nahas jalan raya berhampiran kediamannya di Florida pada Mac lepas.
Juara kejohanan utama sebanyak 15 kali itu tidak mendapat pengecualian automatik untuk saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan depan, namun beliau mempunyai pengecualian seumur hidup untuk Kejohanan Masters dan dibenarkan beraksi dalam Kejohanan Terbuka sehingga berusia 60 tahun.
Sementara itu, Phil Mickelson telah mendaftarkan namanya untuk Kejohanan Terbuka berkenaan walaupun hanya beraksi dalam satu kejohanan sahaja tahun ini -- iaitu saingan LIV Golf di Afrika Selatan pada Mac lepas -- ekoran "isu kesihatan keluarga yang peribadi".
Juara kejohanan utama sebanayak enam kali itu, juga tidak mendapat pengecualian untuk Terbuka AS, tidak pernah terlepas saingan Kejohanan Terbuka sejak 2009.
Bagaimanapun, penyertaan beliau di Birkdale masih menjadi tanda tanya selagi situasi keluarganya tidak berubah.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa