MALAYSIA
Kerjasama global diperlukan bagi tangani krisis perpindahan bandar - Nga

Nga berkata, menurut data PBB, sebanyak 122 juta orang kini telah dipaksa berpindah akibat konflik dan ketidakstabilan politik, jumlah tertinggi pernah direkodkan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) Nga Kor Ming, menyeru semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bekerjasama pada peringkat global bagi menangani krisis perpindahan bandar yang semakin meruncing.
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam video ucapannya sempena Hari Habitat Sedunia 2025 berkata, menurut data PBB, sebanyak 122 juta orang kini telah dipaksa berpindah akibat konflik dan ketidakstabilan politik, jumlah tertinggi pernah direkodkan.
"Memandangkan penempatan manusia berada pada barisan hadapan dalam menghadapi cabaran ini, fenomena perpindahan kini semakin tertumpu di kawasan bandar. Lebih 60 peratus individu yang berpindah dalam negara, pelarian dan migran kini mencari perlindungan di bandar, sekali gus memberi tekanan kepada sistem tempatan," katanya.
Nga turut meminta semua negara anggota untuk memperkukuh kerjasama pelbagai peringkat bagi memastikan pentadbir bandar dan pemimpin tempatan dilengkapi dengan alat serta sumber yang diperlukan untuk bertindak balas dengan berkesan terhadap isu perpindahan bandar.Beliau juga menggesa negara anggota untuk terus menyokong bantuan teknikal UN-Habitat dalam usaha membantu bandar dan komuniti membina semula, mengintegrasi serta menjadi lebih berdaya tahan.
Mengulas mengenai tema Hari Habitat Sedunia tahun ini, iaitu "Penyelesaian Bandar terhadap Krisis", Nga berkata tema tersebut amat tepat pada masanya dan relevan dengan situasi semasa.
"Dengan lebih 120 konflik aktif berlaku di seluruh rantau dunia, kita mesti menggandakan usaha untuk mencapai pembangunan yang saksama," katanya.
Dalam sesi Perhimpunan Habitat PBB pada Jun tahun ini, beliau telah menekankan keutamaan utama sepanjang tempoh kepresidenannya, khususnya dalam menyokong pelaksanaan Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029.
"Ketika kita pulih dan bina semula daripada bertindak atas krisis kepada fasa penyelesaian mampan, kita tidak boleh melupakan kepentingan untuk bergerak daripada sekadar menyediakan tempat perlindungan kepada memastikan akses kepada perumahan yang mencukupi.
"Tanpa tempat berteduh, kita tidak dapat bermimpi tentang bandar dan komuniti yang mampan. Sama seperti kita terus melabur dalam penyediaan perkhidmatan asas di kem pelarian, janganlah kita lupa untuk memanjangkan hak asas ini kepada komuniti sedia ada dan komuniti tuan rumah," katanya.
Merujuk kepada Forum Pembandaran Mampan ASEAN yang baru sahaja berakhir, Nga berkata, lebih 9,000 perwakilan dari 66 negara, termasuk lebih 300 datuk bandar, telah mengulangi komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama bagi meningkatkan keupayaan tempatan dan membina bandar masa depan yang berdaya tahan.
Mengenai usaha pada peringkat nasional, Nga mengesahkan semula komitmen Malaysia untuk memperkukuh inisiatif perumahan dan kelestarian, sambil menegaskan bahawa negara ini kekal teguh dalam menggandakan usaha menyediakan perumahan yang mencukupi dan mampu milik.
Selaras dengan inisiatif Sifar Sisa negara, beliau berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada matlamat lebih luas Malaysia, untuk memenuhi komitmen iklim serta memastikan kemampanan bandar jangka panjang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami