Skip to main content

Malaysia

Kerjasama rentas sempadan penting bagi tangani penipuan, lindungi ekosistem digital ASEAN

CEBU (Philippines), May 6 -- The Philippines assumes the ASEAN Chairmanship from Malaysia on Jan 1, 2026, under the theme “Navigating Our Future, Together,” focusing on three pillars: Peace and Security Anchors, Prosperity Corridors and People Empowerment.    -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
M360 ASEAN 2026 menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur yang berdaya tahan dan integrasi digital serantau. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: ASEAN memerlukan kerjasama rentas sempadan dan perkongsian risikan yang lebih kukuh antara pihak kerajaan, pengendali komunikasi, institusi kewangan serta platform teknologi bagi menangani penipuan digital sekali gus meningkatkan kepercayaan awam terhadap ekosistem digital yang semakin berkembang di rantau ini.

Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand Chaichanok Chidchob berkata ancaman digital dan jenayah rentas negara tidak mengenal sempadan institusi mahupun negara, justeru kerjasama antara sektor awam dan swasta menjadi semakin penting.

Beliau berkata satu daripada cabaran utama dihadapi kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan digital bukan sekadar memastikan rakyat memahami teknologi itu, tetapi juga mereka dilindungi sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Di Thailand, antara persoalan sering dikemukakan oleh pengguna ialah siapa pemilik atau pihak mengendalikan sesuatu perkhidmatan digital, sama ada perkhidmatan berkenaan selamat dan terjamin serta apakah bentuk perlindungan yang tersedia kepada mereka.

“Jika orang ramai tidak terlibat, maka sesuatu perkhidmatan itu akhirnya akan lapuk,” katanya pada sesi panel bertajuk “From Protection to Participation-Building Trusted and Resilient Digital Ecosystems in ASEAN” dikendalikan Ketua GSMA Asia Pasifik Julian Gorman yang diadakan bersempena dengan M360 ASEAN 2026 di sini hari ini.

Chaichanok berkata pendekatan Thailand menumpukan kepada dua aspek utama iaitu pencegahan dan perlindungan termasuk menerapkan ciri keselamatan dalam pembangunan infrastruktur digital dari awal serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa kawal selia dan sektor swasta.

Beliau berkata kolaborasi seumpama itu amat penting dalam membanteras jenayah berkaitan teknologi yang boleh berlaku secara serentak melibatkan rangkaian telekomunikasi, institusi kewangan dan platform digital.

Bagi memperkukuh tadbir urus dalam era kecerdasan buatan (AI), Chaichanok berkata Thailand telah menubuhkan AI Governance Practice Centre (AIGPC) baru-baru ini, yang berperanan sebagai pusat rujukan di peringkat kebangsaan dan serantau bagi menterjemahkan prinsip penggunaan AI secara beretika kepada kerangka kerja yang praktikal dan boleh dilaksanakan.

Dalam merealisasikan ASEAN yang bersepadu menjelang 2030, beliau menjangkakan tahap kesalinghubungan sistem digital antara negara anggota akan semakin meningkat sekali gus membolehkan sistem berkenaan beroperasi merentasi sempadan negara.

“(Kita mungkin dapat melihat) identiti digital nasional Thailand membolehkan seseorang warga Thailand dikenal pasti di sini di Kuala Lumpur dan mengakses perkhidmatan kerajaan atau sektor swasta di sini dengan lancar serta berasa yakin dan selamat,” katanya.

Pengarah Kanan Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google bagi Asia Tenggara, Asia Selatan Frontier dan Taiwan, David Weller pula memberi amaran bahawa peningkatan kesalinghubungan yang memacu revolusi digital turut membuka ruang kepada kelemahan sistemik.

Bagaimanapun, beliau berkata AI boleh menjadi alat pencegahan yang penting memandangkan teknologi berkenaan mampu mengenal pastu petunjuk serta meramalkan situasi yang berpotensi berisiko sebelum sesuatu kejadian buruk berlaku.

“Organisasi dalam sektor kerajaan dan industri sudah menggunakan petunjuk yang tersedia dalam ekosistem masing-masing untuk mengesan penipuan namun penyimpanan maklumat berkenaan dalam lingkungan institusi masing-masing mengehadkan keupayaan bersama-sama untuk mengenal pasti ancaman.

“Pertukaran maklumat yang lebih meluas secara masa nyata membolehkan organisasi saling berkongsi pengalaman dan memanfaatkan teknologi AI dengan lebih berkesan bagi melindungi sistem digital,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif Mastercard Matthew Driver pula berkata kes penipuan memberikan cabaran yang berbeza berbanding gangguan rangkaian atau perkhidmatan konvensional kerana penipuan pada asasnya melibatkan tindakan memperdayakan mangsa.

Beliau berkata pengguna mungkin masih boleh bertolak ansur dengan gangguan perkhidmatan sementara sekiranya penyedia perkhidmatan memberikan penjelasan mengenai situasi itu namun penipuan secara langsung menggugat kepercayaan pengguna dalam ekosistem digital.

“Sebagai usaha menangani masalah ini, ia memerlukan satu kerangka tanggungjawab bersama yang melibatkan pelbagai pihak. Adalah penting untuk memastikan kerangka kawal selia membenarkan perkongsian maklumat yang sah antara pelbagai industri.

“Meskipun pihak pengendali telekomunikasi atau syarikat lain mempunyai maklumat yang mampu membantu mencegah penipuan, keperluan pelesenan atau kerangka kawal selia sedia ada mungkin mengehadkan keupayaan mereka untuk berkongsi maklumat tersebut,” katanya.

Driver berkata peruntukan bagi penggunaan yang sah perlu dimasukkan dalam kerangka perundangan untuk memudah cara kerjasama dalam membanteras penipuan dengan perlindungan yang sewajarnya, khususnya dengan kemunculan ejen AI autonomi.

“Walaupun ekonomi digital kini telah mengaplikasikan konsep seperti Kenali Pelanggan Anda (KYC) dan Kenali Perniagaan Anda (KYB), konsep KYA (Kenali Ejen Anda) dijangka menjadi semakin penting apabila ejen AI autonomi digunakan secara lebih meluas,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Circles Group Rameez Ansar berkata pengendali telekomunikasi turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kepercayaan digital kerana mereka sentiasa berhubung dengan pelanggan.

“Syarikat telekomunikasi berpotensi menjadi pihak pertama yang boleh dihubungi oleh pelanggan yang menjadi mangsa penipuan, memandangkan mereka sudah mempunyai hubungan serta saluran komunikasi sedia ada dengan pengguna,” katanya.

Dalam menuju 2030, Ansar menggariskan tiga aspek utama perkongsian maklumat yang perlu diberi perhatian iaitu antara syarikat telekomunikasi, merentasi sektor dalam negara seperti perbankan selain di peringkat antarabangsa bagi menangani ancaman yang dari luar negara.

“Kerjasama seumpama itu membolehkan pelbagai pihak dalam ekosistem digital menggabungkan maklumat yang mungkin sebaliknya kekal berasingan antara rangkaian telekomunikasi, aplikasi, institusi kewangan serta platform digital lain,” katanya.

M360 ASEAN 2026 anjuran GSMA yang berlangsung di sini hari ini dan esok menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur yang berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan penganjur.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement