Skip to main content

Malaysia

Kerjasama strategik UUM-Perodua beri manfaat kepada mahasiswa

mua uum,
Majlis menandatangani MoA berlangsung di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang dan disempurnakan Zainal Abidin dan Ahmad Martadha. - Gambar UUM

RAWANG: Kerjasama universiti dan industri terus diberi tumpuan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai salah satu usaha meningkatkan lagi perkhidmatan kepada mahasiswa dan komuniti universiti.

Selain itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kerjasama erat institusi pengajian tinggi awam dan pihak industri merupakan salah satu strategi yang diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meneruskan pembangunan negara.

Advertisement

Terbaharu, UUM menjalin kerjasama strategik dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang memberi impak besar kepada mahasiswa khususnya.

Menerusi MoA tersebut, pihak Perodua bersetuju menyumbang penajaan bagi pusat inapan mahasiswa UUM bernilai RM350,000 selama 5 tahun sehingga Mac 2030.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihak Perodua akan membuka pusat servis mini bagi memberi perkhidmatan kepada 3,500 pengguna kenderaan Perodua di dalam kampus UUM dan masyarakat sekitar.

“Kemudahan ini menawarkan akses perkhidmatan selenggara kenderaan yang menjimatkan masa kepada mahasiswa dan kakitangan UUM serta memberi pendedahan kepada operasi industri automotif kepada mahasiswa. Selain itu, Perodua turut memperkenalkan perkhidmatan kereta sewa kepada warga UUM menerusi aplikasi P-Circle yang sangat sesuai dengan gaya hidup mahasiswa dan generasi muda kerana menyokong mobiliti fleksibel tanpa perlu memiliki kenderaan selain menggalakkan penggunaan teknologi digital untuk perkhidmatan tersebut,” katanya.

Mengulas perkara itu, Naib Canselor UUM berkata, perkhidmatan disediakan pihak Perodua ini dapat meningkatkan lagi perlindungan dan perkhidmatan kepada mahasiswa berbanding penggunaan perkhidmatan teksi sapu.

“Justeru, pihak UUM menyambut baik kerjasama strategik ini memandangkan Perodua adalah salah satu jenama besar dalam sektor automotif negara. Selain itu, penajaan kepada pusat penginapan mahasiswa pastinya memberi impak besar kepada peningkatan perkhidmatan dan kemudahan sedia ada,” jelas Ahmad Martadha.

Majlis menandatangani MoA berlangsung di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang dan disempurnakan Zainal Abidin dan Ahmad Martadha.

Must Watch Video