KUALA LUMPUR: Kerjasama UMNO di luar seolah-olah meminggirkan cara parti itu untuk melakukan pengukuhan di peringkat dalaman.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengukuhan dalaman harus dilakukan untuk menampakkan bahawa UMNO adalah satu.

Jika mahu memenangi semula pemikiran dan juga ideologi yang dikuasai oleh ahli-ahli UMNO, undi protes yang dilakukan, kepimpinan itu harus mencerminkan paparan bahawa inilah yang harus dibawa oleh UMNO.

"Bermakna, semakin berpecah itu akan menyebabkan semakin lebarlah usaha untuk membawa kepada penyatuan dalam parti.

"Sebab itu saya ulang di manakah faktor penyatuan yang boleh membawa kepada UMNO dilihat sebagai satu," katanya semasa program bual Bicara Minda Profesor Negara Mengenai Senario Politik bertajuk Politik Malaysia: Di mana dan ke mana kita, pada Rabu.

Selain Sivamurugan, Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose dan Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dan Penganalisis Politik UiTM, Professor Datuk Dr. Ismail Sualman turut menjadi panel.

Sementara, panel adalah Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Muhammad Asri Mohd. Ali.

Dalam pada itu kata Dr. Ismail, pemimpin UMNO terus memimpin dengan cara mereka sendiri dan tidak bergantung kepada gabungan lain.

Jelasnya, mereka perlu menguatkan dalaman UMNO sendiri walaupun ada banyak pandangan dan hujahan daripada pelbagai pihak di dalam parti.

"UMNO sentiasa percaya dan yakin boleh berjalan sendiri secara solo.

"Mereka yakin kekuatan yang ada dan mungkin juga kesedaran yang mungkin sudah kembali selepas mengalami episod kerajaan terdahulu yang menjadikan mereka yakin dan ramai ahli UMNO kembali memberi kepercayaan untuk mengundi UMNO," ujarnya.

Mengulas isu sama Dr Raduan berkata, kemenangan hampir pasti jika Bersatu, Pas dan UMNO bersama pada PRU15 akan datang.

Ujarnya ia akan semakin terjamin jika kerjasama terjalin dengan parti-parti bangsa lain dan tidak terikat kepada Melayu serta Bumiputera semata-mata.

"Apa yang berlaku sekarang ini, kita jadikan contoh, tetapi kesedaran itu tidak boleh diterjemahkan.

"Banyak NGO yang sedang berusaha untuk menyuburkan dan menjadi pengantara kepada usaha untuk menentukan kesatuan parti-parti berteraskan Melayu ini.

"Semua tahu isu utama adalah pergeseran UMNO dan Bersatu dalam pembahagian kerusi, itu sahaja," katanya.

 
Sumber Facebook MajlisProfesorNegara