IPOH: Kerajaan negeri Perak sedang meneliti untuk mengenakan penalti atau kos pemuliharaan terhadap kerosakan yang berlaku di dalam Gua Matsoorat di sini, termasuk melibatkan fosil berusia jutaan tahun.

Perkara itu masih dalam perbincangan kerana beberapa pakar sedang meneliti kerosakan yang berlaku dan bagaimana untuk memuliharanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pihak Majlis Kerajaan Negeri amat kesal dengan perkara itu.

Ia berlaku di salah satu tapak yang sedang diusahakan untuk diangkat sebagai geotapak baharu dalam Geopark Lembah Kinta.

"Kita boleh ambil iktibar daripada perkara yang telah terjadi. Kita tidak boleh ambil ringan tentang khazanah dan warisan kita kerana, sekali ia rosak, susah hendak memuliharanya semula.

"Saya juga sarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam kawasan konservasi untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan kemas untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.

"Dan kita akan keluarkan amaran sekeras-kerasnya. Walaupun permit diberi, mereka perlu bertanggungjawab ke atas setiap pergerakan mereka, khususnya di kawasan pemuliharan," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pihak-pihak berkaitan, untuk melaksanakan beberapa kajian di bandar raya Ipoh, hari ini.

BACA: MBI siasat dakwaan Gua Matsoorat diceroboh selepas penggambaran drama

BACA: Gua Matsoorat: FINAS akan kaji semula pengeluaran lesen penggambaran

BACA: Perak siasat isu kerosakan Gua Matsoorat selepas penggambaran drama


Menurut Nolee Ashilin, kawasan gua tersebut mempunyai kawalan keselamatan 24 jam dan telah ditambah selepas kejadian pencerobohan yang dikatakan melibatkan kru sebuah syarikat produksi.

Ekoran kejadian itu, kawalan keselamatan di kawasan berkenaan diperketatkan lagi dari segi pergerakan dan bilangan pengunjung.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan di Gua Matsoorat susulan penggambaran sebuah drama popular di kawasan itu.

Selain itu, kru produksi turut didakwa membuang sampah merata-rata dan terdapat perkongsian gambar yang menunjukkan kerosakan dan ukiran nama tajuk drama itu pada dinding gua.