PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Sosial Negara kali kedua memutuskan agar satu kertas kerja dibentangkan berhubung permasalahan perlakuan seksual dalam kalangan remaja yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bagi membolehkan langkah drastik segera diambil bagi membendung masalah tersebut.

"Permasalahan ini amat membimbangkan, malang sekali ia terlalu tinggi (antara negeri-negeri) ialah negeri 'Serambi Mekah' (Kelantan).

"Ini bukan masalah politik, tetapi ini masalah sosial dan kita mesti cari jalan agar ia dapat dinoktahkan,"kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara, pada Khamis.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya berharap pembentangan kertas kerja itu akan mendapat sokongan daripada ahli Kabinet khususnya dalam aspek kerjasama rentas agensi serta peruntukan.

"Yang menjadi isu ialah kerana mereka yang terlibat adalah dalam kumpulan usia yang kita sebut secara rasmi ialah 13 tahun, tetapi sebenarnya ada yang lebih muda.

"Ini agak membimbangkan. Kita mempunyai agensi Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang banyak menganjurkan aktiviti kesihatan, jadi kita guna LPPKN untuk menangani isu seperti ini," ujarnya. 

Tambah Nancy, kertas kerja itu terlebih dahulu akan dibawa untuk semakan di peringkat jabatan dan kementerian terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet, dan ia dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu. 

Turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah memudahcara pembukaan akaun bagi golongan orang kelainan upaya (OKU), dengan Bank Negara diminta mengarahkan bank-bank komersial supaya melaksanakan perkhidmatan perbankan mesra OKU secara berperingkat.

"Keputusan telah dibuat ahli mesyuarat supaya Bank Negara mengarahkan bank-bank komersial untuk beri kemudahan.

"Kita tahu perkhidmatan perbankan mesra OKU mesti dilaksanakan tetapi kita juga tahu ada kekangan yang memerlukan beberapa tindakan, jadi kita setuju buat secara berperingkat," tambahnya.