KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kejadian membuang beras, sardin dan tepung di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh pada 18 April lalu telah lengkap dan dirujuk kepada Bahagian Undang-Undang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk diteliti.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bahagian undang-undang kementerian akan meneliti secara menyeluruh supaya tindakan diambil itu lengkap.

Menurutnya, sekiranya wujud kesalahan, pihak terlibat tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.

“Seterusnya kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya kerana kementerian ini tiada kuasa pendakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.

Aiman Athirah berkata, seramai tujuh hingga sembilan individu telah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Semua siasatan sudah lengkap dan menunggu tindakan selanjutnya," katanya.

Sebelum ini, kejadian pembuangan beras, tin sardin dan tepung di kawasan pembuangan sampah haram berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum tular di laman sosial Facebook dan TikTok sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi pelbagai pihak.

Susulan kes itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said tampil mengaku bertanggungjawab dan menjelaskan barangan dapur itu terpaksa dilupuskan kerana sudah rosak dan tidak lagi sesuai untuk diagihkan bagi kegunaan orang ramai. - Sinar Harian