SHAH ALAM : Polis Selangor telah melengkapkan kertas siasatan melibatkan kumpulan pop rock The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merakam 28 keterangan meliputi 17 percakapan pengadu selain 10 pihak Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan seorang penganjur.

"Hanya (ahli) kumpulan rock terbabit yang telah berlepas keluar negara pada masa kejadian belum dapat diambil keterangan.

"Siasatan telah dilengkapkan dan kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjut seawal mungkin," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Pada 21 Julai lalu, persembahan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.

Susulan itu, kumpulan terbabit dilaporkan terus pulang ke negara asal selepas enam jam buat persembahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan berurusan dengan pihak berkuasa United Kingdom sekiranya terdapat proses pendakwaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. - Sinar Harian