MALAYSIA
Kerugian akibat penipuan dalam talian di Terengganu RM17.9 juta

Mohd Khairi berkata kes penipuan dalam talian yang terbaharu direkodkan pihaknya adalah melibatkan seorang bekas kakitangan syarikat cari gali minyak yang mengalami kerugian RM892,000 selepas menjadi mangsa sindiket phone scam. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu merekodkan 940 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM17.9 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut kerugian yang tertinggi adalah melibatkan kes 'phone scam' iaitu RM7.68 juta; diikuti kes skim pelaburan tidak wujud RM5.47 juta; pembelian dalam talian berjumlah RM1.95 juta; dan 'parcel scam' RM1.57 juta.
"Selain itu ada juga kes jenayah siber atau duit berkurangan dalam akaun (RM501,583.34); kes penipuan pinjaman tidak wujud (RM470,907.91); 'love scam' (RM260,200); dan ah long (RM2,960)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu, di sini hari ini.
Beliau berkata kes penipuan dalam talian yang terbaharu direkodkan pihaknya adalah melibatkan seorang bekas kakitangan syarikat cari gali minyak yang mengalami kerugian RM892,000 selepas menjadi mangsa sindiket phone scam.Mohd Khairi berkata pada 31 Dis lepas, lelaki berusia 56 tahun itu dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai wakil platform jualan secara dalam talian Shopee dan pegawai polis dari IPK Pulau Pinang.
Beliau berkata suspek mendakwa lelaki itu akan dikenakan tindakan kononnya kerana didapati terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan juga pengedaran dadah.
"Mangsa yang panik telah membuat 10 transaksi wang ke tujuh akaun berbeza berjumlah RM892,000 bermula 7 Jan hingga 10 Feb.
"Dia menggunakan wang simpanan persaraan dan Wang Kumpulan Simpanan Pekerja untuk membuat pembayaran bagi membersihkan namanya," katanya dan menambah lelaki itu membuat laporan polis semalam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami