"Jangan pertaruhkan nyawa anak anda semata-mata ingin jimatkan duit!"

Demikian saranan Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani yang menasihati ibu bapa agar tidak terpedaya dengan kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) yang murah.

Tegas Dr Kulanthayan, ibu bapa perlu berhati-hati dan hanya memilih kerusi keselamatan jenis R44 dan R129 yang mempunyai pelekat E-Mark berwarna jingga dengan maklumat seperti kategori produk mengikut berat atau tinggi dan nombor kelulusan.

Hal ini kerana, ada jenama kerusi keselamatan yang tidak lulus piawaian dengan label palsu yang dijual di pasaran.

"Sebagai pengguna jalan raya, kita perlu menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak ini demi keselamatan dan bukan semata-mata memenuhi keperluan perundangan.

"Ia bukan sahaja tertakluk kepada kerusi keselamatan sahaja. Jika kita mementingkan keselamatan kanak-kanak, ia tidak menjadi sebarang masalah.

"Jadi sebagai pengguna, gunakanlah kuasa pengguna sebelum membeli kerusi keselamatan tersebut dan pastikan ia mempunyai label standard yang berwarna oren dengan perkataan R44 dan R129," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

BACA: CRS: KPDNHEP akan pantau penjualan atas talian agar ikut piawaian

Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu menitikberatkan cara pemasangan kerusi CRS yang betul.

"Untuk memastikan cara pemasangan sesuai, kita perlu melihat manual kerusi keselamatan kanak-kanak dan juga manual kereta bagi melihat di mana sesuainya kerusi keselamatan kanak-kanak dipasang, sama ada di bahagian depan, belakang, tepi ataupun tengah.

"Bagaimanapun, sebaiknya kerusi keselamatan kanak-kanak itu dipasang di tempat duduk belakang kerana ia lebih selamat untuk kanak-kanak.

"Kita perlu ingat di mana ada beg udara, tempat tersebut tidak sesuai untuk pemasangan kerusi tersebut," jelasnya.

Menurut statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tempat duduk khas bayi yang dipasang dan digunakan dengan betul boleh mengurangkan risiko kematian sehingga 70 peratus bagi bayi dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun manakala kerusi ‘booster’ yang digunakan bersama tali pinggang boleh mengurangkan kecederaan sehingga 59 peratus.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menyambut baik pendekatan Kementerian Pengangkutan yang tidak mengenakan sebarang saman kepada ibu bapa yang gagal memasang kerusi CRS dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanannya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penggunaan CRS di dalam kereta persendirian akan diwajibkan bermula 1 Januari ini bagi mengelak bayi dan kanak-kanak mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Untuk rekod, dalam tempoh tahun 2018 hingga Mac 2019, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah sebanyak 268 kes dan turut membabitkan kanak-kanak dan bayi.