Kes 1MDB: Najib nafi tuntut kekebalan, hanya mahu layanan adil di sisi undang-undang

Najib (foto) menegaskan beliau hanya meminta kesaksamaan dan perlindungan undang-undang yang sama seperti individu lain. -Gambar fail/Facebook
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa beliau hanya meminta kesaksamaan dan perlindungan undang-undang yang sama seperti individu lain dan tidak pernah menuntut sebarang bentuk kekebalan daripada pendakwaan jenayah.
Ringkasan AI
- Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah menuntut kekebalan, hanya mahukan kesaksamaan dan perlindungan undang-undang seperti individu lain.
- Beliau mendakwa pendakwaan terhadapnya tidak konsisten, kabur dan bergantung kepada teori baharu serta keterangan dengar cakap tanpa bukti kukuh.
- Najib turut menyatakan tiada usaha serius dilakukan untuk mengesan saksi penting seperti Jho Low, yang didakwa sebagai dalang utama dalam penyelewengan dana 1MDB.
“Tiada seorang pun, termasuk pendakwaan, yang mengetahui asas undang-undang sebenar untuk menyatakan bahawa arahan orang lain perlu dipertanggungjawabkan ke atas saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan kata pengantar daripada kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi hari ini, pada permulaan prosiding hujahan akhir pembelaan bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib turut menegaskan bahawa pendakwaan terhadap dirinya bersifat tidak konsisten dan mengelirukan.
“Bagaimana saya boleh menyediakan pembelaan jika pertuduhan berubah-ubah? Adakah saya dituduh atas satu perbuatan atau beberapa? Atas satu keputusan atau banyak keputusan?” soal Najib.
Najib berkata, jika bentuk pendakwaan seperti itu dibenarkan, maka tiada siapa yang boleh mendapat perbicaraan adil kerana tuduhan menjadi terlalu kabur.
“Sebagai bekas Perdana Menteri, saya tidak pernah menuntut kekebalan. Saya hanya menuntut kesaksamaan dan perlindungan undang-undang seperti mana-mana individu lain yang dibicarakan sebelum saya,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pertuduhan jenayah sepatutnya bersifat khusus bagi memastikan perbicaraan berlangsung dengan adil.
“Setiap orang yang dituduh berhak mengetahui apakah kesalahan yang dilakukan, bila dan bagaimana ia berlaku. Tanpa penjelasan itu, yang wujud hanyalah kekeliruan,” katanya.
Najib turut mendakwa pihak pendakwaan terlalu bergantung kepada keterangan dengar cakap tanpa memenuhi syarat undang-undang yang diperlukan untuk menerima bukti sedemikian.
Menurutnya, tiada bukti menunjukkan pihak berkuasa berusaha mencari saksi penting termasuk ahli perniagaan yang masih diburu, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Setakat rekod yang ada, SPRM tidak pernah menyebut sebarang usaha untuk mengesan Jho Low sebelum membuat penentuan bahawa beliau tidak dapat ditemukan,” katanya.
Kes itu kini di peringkat hujahan akhir pembelaan sebelum mahkamah menetapkan tarikh keputusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami