KUALA LUMPUR: Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa akaun Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kemasukan wang RM90.9 juta pada Oktober dan November 2012.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, terdapat transaksi kemasukan wang ke akaun AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib berakhir nombor 694, pada 31 Oktober dan 20 November 2012, masing-masing sebanyak RM15,149,963.64 serta RM75,749,963.64.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen itu telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam.

Pada 2019 lalu, ketika penyataan pembukaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, pendakwaan berkata, Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low mengambil langkah positif dan menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi di mana tertuduh memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Uma Devi berkata, pada November dan Disember 2011, bekas Presiden UMNO itu telah mengeluarkan beberapa cek berjumlah RM2.5 juta.

Wang itu katanya, telah dikeluarkan kepada beberapa pihak antaranya Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM494,900) Yayasan Rahah (RM1 juta), ORB Solutions Sdn Bhd (RM450,000) Mashi Publication Sdn Bhd (RM30,000) dan Transformasi Kreatif (RM520,000).

Transaksi itu adalah berkaitan perkara dalam pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung jam 2 petang. -- Sinar Harian