Skip to main content

Malaysia

PM zahir dukacita tragedi anggota polis maut terkena renjatan elektrik

Anggota Maut
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang maut dalam tragedi dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, hari ini.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang maut dalam tragedi dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, hari ini.

Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Menurutnya, langkah penambahbaikan juga perlu diambil bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, tiga anggota Balai Polis Weston dipercayai terkena renjatan elektrik selepas galah besi yang digunakan untuk mengambil buah kelapa menyentuh kabel elektrik.

Mangsa ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40 tahun, Konstabel Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29 tahun, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26 tahun. 

Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum mayat dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM, sambil menyifatkan jasa dan pengorbanan ketiga-tiga anggota dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara akan sentiasa dikenang.

Must Watch Video

Advertisement